Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada menteri mampu tumpukan sahaja pada urusan politik, serahkan tugas lakar dasar kepada perkhidmatan awam: DPM Heng

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada menteri mampu tumpukan sahaja pada urusan politik, serahkan tugas lakar dasar kepada perkhidmatan awam: DPM Heng

DPM Heng Swee Keat di majlis makan malam tahunan Perkhidmatan Pentadbiran. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 15 Apr 2025 11:51PM Dikemas Kini : 16 Apr 2025 12:03AM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata pada Selasa (15 Apr) bahawa tiada menteri yang mampu memberikan tumpuan semata-mata kepada penglibatan politik dan menyerahkan tugas melakarkan dasar-dasar berkesan kepada perkhidmatan awam.

Para pegawai perkhidmatan awam memainkan peranan "penting" dalam melengkapi kepimpinan politik dalam memajukan negara ke hadapan, dan ia penting untuk mengekalkan "hubungan kepercayaan", kata DPM Heng di majlis makan malam tahunan Perkhidmatan Pentadbiran.

"Walaupun hubungan antara para pemegang jawatan politik dan perkhidmatan awam telah berkembang, satu mutu penting kekal tidak berubah - kepercayaan tinggi dan keyakinan yang kita nikmati, dan rasa tujuan bersama kita untuk menjamin masa hadapan lebih baik bagi Singapura, untuk rakyat Singapura," kata Encik Heng.

Dalam ucapannya, Encik Heng berkongsi anekdot semasa beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan berkongsi beberapa pengajaran yang ditimba, di mana salah satunya adalah untuk mempertahankan hubungan kepercayaan antara perkhidmatan awam dengan kepimpinan politik.

Sebelum menceburi bidang politik pada 2011, Encik Heng adalah pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Beliau juga sebagai setiausaha peribadi utama Perdana Menteri Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew antara 1997 dengan 2000, serta sebagai setiausaha tetap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) antara 2001 dengan 2005.

Sambil katakan bahawa beliau mempunyai "rasa hormat yang mendalam" terhadap para pemegang jawatan politik yang pernah berkhidmat dengannya ketika beliau berkhidmat sebagai penjawat awam, Encik Heng berkata: "Saya terus kekal dalam bidang itu kerana saya rasakan bahawa saya bekerjasama dengan para pemimpin yang boleh saya contohi, di mana komitmen mereka terhadap kesejahteraan rakyat Singapura adalah inspirasi bagi saya."

Selepas menjadi menteri, Encik Heng menerima "sokongan kuat" daripada setiausaha tetapnya.

"Dalam tahun-tahun akan datang, persaingan politik di Singapura akan bertambah lebih sengit.

"Saya berasa terkejut apabila mendengar sesetengah parti politk mendakwa bahawa dengan adanya perkhidmatan awam kelas pertama, orang awam tidak perlu khuatiri perubahan pemerintah," kata Encik Heng kepada 320 hadirin yang berkumpul di Marina Bay Sands, termasuk Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing.

"Saya yakin tiada menteri boleh melakarkan dasar-dasar berkesan bagi kepentingan jangka panjang Singapura dengan hanya memberi tumpuan kepada penglibatan politik atau berpolitik sahaja, dan menyerahkan kepada perkhidmatan awam untuk melakarkan dan melaksanakan dasar."

Beliau menambah: "Jika pemimpin politik yang bekerja dengan saya semasa tempoh saya berkhidmat (dalam perkhidmatan pentadbiran) berbuat demikian dan tidak mempunyai naluri dasar tentang apa yang membantu Singapura, sudah tentu saya akan meninggalkan perkhidmatan awam sejak awal lagi, dan begitu juga ramai rakan setiausaha tetap saya."

MENGATASI KEKANGAN

Dalam ucapannya, Encik Heng juga menyentuh tentang keupayaan negara ini untuk mengatasi pelbagai kekangan dari segi saiz dan kekurangan sumber semula jadi, sambil menyifatkan Kisah Singapura sebagai "satu kisah yang menjadikan kekangan satu peluang, dan yang kecil menjadi indah."

Seluruh dunia dan Singapura telah melalui perubahan ketara sepanjang 60 tahun lalu, daripada perang, krisis kewangan dan ekonomi, kemelesetan dan pandemik.

Kini, dunia berada di ambang perang perdagangan dan teknologi yang baharu, yang dicetuskan oleh persaingan strategik antara Amerika Syarikat dengan China, katanya.

Encik Heng juga menarik perhatian bahawa aturan dunia perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan kini digantikan oleh dasar-dasar arbitrari dan perlindungan.

Singapura bahkan tidak terkecuali daripada gelombang tarif baharu yang diumumkan oleh Amerika Syarikat.

Encik Heng berkata rantaian bekalan global akan melalui "konfigurasi semula yang ketara" dalam beberapa tahun mendatang.

"Singapura sebagai sebuah hab perdagangan utama dan pusat logistik boleh memanfaatkan sebaik-baiknya pergolakan digital yang sedang berlaku, terutamanya dalam teknologi kecerdasan buatan untuk mengubah kedudukan kita," katanya.

Beliau juga menekankan Singapura harus "memperdalam dan memperluaskan" hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara yang mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Singapura, supaya ia dapat tampil lebih kuat.

Kini, Singapura mempunyai rangkaian sebanyak 27 pakatan perdagangan termasuk perjanjian dua hala dan serantau.

Di majlis makan malam itu, 13 pegawai dilantik ke perkhidmatan pentadbiran dan 60 pegawai pentadbiran dinaikkan pangkat.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan