'Tiada masa untuk makan': NTWU, RP kaji cara perbaiki keadaan kerja pemandu bas
Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) dan Politeknik Republik memulakan kajian bersama yang disasarkan untuk memperbaiki keadaan kerja pemandu bas di sini.
(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) dan Politeknik Republik memulakan kajian bersama yang disasarkan untuk memperbaiki keadaan kerja pemandu bas di sini.
Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Melvin Yong pada Jumaat (24 Mei) berkata kajian itu akan menawarkan saranan untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para kakitangan syarikat bas. Ia dijangka akan dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.
Menulis di blog Gerakan Buruh, Encik Yong berkata para penumpang semakin berpuas hati dengan khidmat bas, namun "tidak mudah untuk (para pekerja) untuk memenuhi piawai setiap hari".
BUKAN MUDAH JADI PEMANDU BAS
Kekurangan masa di jalan raya dan selepas melakukan perjalanan adalah satu isu yang kerap dibangkitkan oleh para pemandu bas, sehinggakan mereka tidak cukup masa untuk makan atau ke tandas, menurut Encik Yong.
Ini kerana laluan bas tidak beroperasi secara berasingan, sebaliknya ia turut terjejas oleh faktor-faktor lain seperti keadaan lalu lintas, cuaca dan pergerakan penumpang.
Para pemandu rasa tertekan untuk menepati jadual yang diberikan, lantas timbul kesan tidak disengajakan seperti kelakuan lebih agresif dan risiko kemalangan lebih tinggi, kata beliau.
Masa menunggu untuk meletakkan bas di pusat pertukaran bas juga menjejas masa rehat mereka.
Ini diburukkan lagi oleh hakikat bahawa pemandu yang bekerja pada syif pagi perlu melaporkan diri ke depot bas sebelum 4.30 pagi. Ini bermakna sesetengah pemandu perlu menaiki bas syarikat seawal 3.00 pagi.
NTWU, para pengendali pengangkutan awam dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sudah memulakan usaha untuk memperbaiki prasarana bas sedia ada dan yang baru.
"Namun peningkatan sedemikian tidak dapat terus ditampung jika waktu rehat masih pendek akibat cabaran seperti masa menunggu yang lama untuk meletakkan bas, atau ketibaan lewat akibat kesesakan lalu lintas atau cuaca buruk," kata Encik Yong.
Disokong oleh rakan-rakan perikatan tiga pihak, LTA dan keempat-empat pengendali bas, kajian yang dijalankan itu akan mengenal pasti dan mengkaji sistem alir kerja, persekitaran kerja dan pelbagai situasi yang dialami pemandu bas setiap hari.
Ini merangkumi cabaran pada proses jadual dan operasi.
Pihak kesatuan mengalu-alukan saranan-saranan yang akan dibentangkan dan komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan industri untuk melaksanakannya, kata Encik Yong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.