Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada 'maklumat risikan mutlak' ancaman pengganasan terhadap S'pura: ISD

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan pada Selasa (14 Sep) bahawa pada masa ini ia "tidak menerima sebarang ancaman khusus atau maklumat risikan mutlak tentang ancaman keganasan terhadap Singapura".

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada 'maklumat risikan mutlak' ancaman pengganasan terhadap S'pura: ISD

Bangunan MHA. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 15 Sep 2021 09:45AM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 09:46AM

SINGAPURA: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan pada Selasa (14 Sep) bahawa pada masa ini ia "tidak menerima sebarang ancaman khusus atau maklumat risikan mutlak tentang ancaman keganasan terhadap Singapura".

Ini setelah kementerian luar Jepun mengeluarkan amaran tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas melalui kedutaannya di negara-negara Asia Tenggara pada Ahad (12 Sep).

Dalam kenyataan nasihatnya, Jepun memberi amaran kepada rakyatnya bahawa ia mendapat maklumat bahawa "terdapat risiko lebih tinggi seperti serangan bom nekad" di rumah-rumah ibadat atau tempat awam yang sesak.

Notis itu dihantar kepada rakyat Jepun di Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Myanmar.

Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, ISD menyatakan bahawa ia sudah menghubungi rakan sejawatannya dari Jepun, yang juga "tidak mempunyai sebarang maklumat khusus".

"ISD pada masa ini tidak menerima sebarang ancaman khusus mahupun maklumat yang diyakini tentang ancaman serangan pengganas terhadap Singapura," menurut ISD.

"Kami sudah menghubungi rakan-rakan sejawatan dari Jepun dan mereka juga tidak mempunyai sebarang maklumat yang diyakini. Orang awam bagaimanapun digesa supaya terus berwaspada dan segera menghubungi talian Antioengganasan ISD di 1800-2626-473 (1800-2626-ISD) atau membuat laporan melalui aplikasi SGSecure jika mereka menyaksikan sebarang individu atau kegiatan mencurigakan."

"KEBINGUNGAN" DARI NEGARA-NEGARA ASIA TENGGARA YANG LAIN

Agensi berita Malaysia Bernama melaporkan pada Selasa bahawa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata amaran oleh Jepun itu dikeluarkan berdasarkan wadah media dan tidak mempunyai asas yang kukuh.

Encik Hishammuddin menambah bahawa kumpulan risikan angkatan tentera dan polis Malaysia mengesahkan bahawa amaran itu tidak berasas.

Kenyataan nasihat itu juga diterima dengan rasa bingung oleh negara-negara Asia Tenggara yang lain, lapor Associated Press (AP).

Tanee Sangrat, jurucakap bagi kementerian luar Thailand berkata bahawa Jepun tidak mendedahkan sumber amaran itu dan kedutaan Jepun tidak mempunyai butiran lanjut mengenainya selain daripada menyatakan "ia tidak khusus kepada Thailand".

Agensi-agensi keselamatan Thailand juga tidak menerima maklumat tersendiri tentang sebarang ancaman, kata jurucakap timbalan polis Kissana Pathanacharoen.

Begitu juga, Jabatan Ehwal Luar Filipina menyatakan bahawa ia tidak mengetahui tentang sebarang maklumat mengenai tahap ancaman yang meningkat, manakala jurucakap kementerian luar Indonesia Teuku Faizasyah menafikan sebarang amaran diberikan kepada warga Jepun di sana.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan