Skip to main content

Singapura

Tiada maklum balas tentang sebarang bahaya akibat kelemahan pada borang elektronik LPA: MSF

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada maklum balas tentang sebarang bahaya akibat kelemahan pada borang elektronik LPA: MSF

(Gambar: iStock/DragonImages)

Diterbitkan : 02 Apr 2024 09:53PM Dikemas Kini : 02 Apr 2024 10:43PM
SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tidak tahu tentang sebarang kemudaratan yang mungkin timbul akibat kelemahan undang-undang yang melibatkan borang elektronik Surat Kuasa Berkekalan (LPA), yang tidak dapat dikesan selama hampir setahun.

Ia berlaku walaupun borang itu telah diluluskan untuk dikuatkuasakan oleh MSF melalui "proses semakan dalaman dan pemeriksaan", dedah Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua di Parlimen pada Selasa (2 Apr).

Satu rang undang-undang telah diluluskan di Parlimen pada Selasa (2 Apr) untuk mengesahkan LPA ini dengan mengundurkan tarikh berkuat kuasanya dan menghapuskan sebarang ketidakpastian tentang kesahihannya.

Sekitar 87,000 dokumen elektronik LPA didapati kekurangan pernyataan yang diperlukan yang boleh menyebabkannya terbuka kepada cabaran undang-undang, umum MSF pada bulan lalu.
 
Berucap di Parlimen pada Selasa (2 Apr), Encik Chua berkata MSF "tidak mengetahui tentang sebarang bahaya sebenar yang mungkin dialami oleh penerima kuasa atau individu yang menyerahkan kuasa itu".

Ramai daripada mereka yang membuat LPA masih mempunyai kapasiti mental, jadi penerima kuasa mereka tidak perlu bertindak bagi pihak mereka, tambahnya.

Borang elektronik LPA telah disediakan oleh kakitangan Pejabat Penjaga Awam (OPG), iaitu sebuah agensi di bawah MSF yang bertanggungjawab menjaga dan melindungi kepentingan individu yang tidak mempunyai keupayaan mental untuk membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.

Borang-borang itu kemudian disemak oleh Penjaga Awam, serta oleh unit undang-undang yang berasingan.

"Malangnya, tiada sistem semakan proses boleh 100 peratus tepat, seperti yang ditunjukkan oleh kes ini," kata Encik Chua.

Beliau menambah bahawa borang elektronik LPA melalui pelbagai pihak termasuk pengeluar sijil yang sedia maklum dengan borang salinan seperti peguam atau doktor.

"Sungguhpun demikian, ia mengambil masa hampir setahun sebelum orang ramai menyedari perbezaan itu dan menulis untuk bertanya mengenainya."

Akta Keupayaan Mental menetapkan bahawa LPA elektronik mesti menyatakan dengan jelas bahawa ia bertujuan untuk menjadi surat ikatan oleh pihak yang ingin menyerahkan kuasa tersebut.

Walaupun kepentingan dan kesan LPA diterangkan dengan jelas dalam dokumen elektronik, dokumen elektronik LPA yang terjejas - disahkan dari 14 Nov 2022 hingga 4 Jan 2024 - ia tidak menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah surat ikatan, kata MSF pada Mac.

Semasa membahaskan rang undang-undang itu, Anggota Parlimen (AP) Don Wee (PAP-Chua Chu Kang) dan Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya sama ada individu yang terjejas akan dimaklumkan bahawa LPA mereka adalah sah dari segi undang-undang.

Oleh kerana tiada tindakan diperlukan oleh individu yang menyerahkan kuasa dengan Rang Undang-Undang itu diluluskan, MSF tidak akan menghantar notis kepada mereka, kata Encik Chua dalam jawapannya.

Sebaliknya, nota akan dilekatkan pada halaman pendaftaran elektronik LPA yang terjejas untuk menunjukkan peruntukan bagi pengesahan retroaktif apabila Rang Undang-Undang itu berkuat kuasa, katanya.

Encik Wee juga meminta kemas kini mengenai keseluruhan kadar pengambilan LPA. Encik Chua berkata hampir 210,000 rakyat Singapura berumur 50 tahun ke atas telah membuat LPA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita