Tiada lonjakan kes serangan pisau di SG; sekitar 130 kes dilaporkan pada 2024: MHA
Terdapat 129 kes pembunuhan, percubaan membunuh, rompakan, rusuhan dan kecederaan serius melibatkan serangan pisau antara Januari hingga November tahun lalu.

Perangkaan itu bahkan "boleh dibandingkan" dengan jumlah kes sepanjang tiga tahun lalu, kata Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling pada Selasa (7 Jan).
Antara 2021 dengan 2023, terdapat purata 133 kes setiap tahun.
Namun tiada satu pun insiden jenayah itu berlaku di tempat-tempat beribadat, kecuali serangan pisau yang berlaku di Gereja St Joseph pada November tahun lalu.
Semasa mendedahkan perangkaan itu di parlimen, Cik Sun berkata MHA tidak menjejaki kes melalui sama ada para pesalah itu menghidap isu kesihatan mental.
Cik Sun berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan parlimen oleh beberapa Anggota Parlimen termasuk Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) dan Encik Christopher De Souza (PAP-Holland Bukit Timah), mengenai sama ada terdapat kenaikan dalam jumlah kes jenayah melibatkan pisau, serta langkah keselamatan dan respons yang dilaksanakan.
"Para pegawai polis kami dilatih dan dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani kes-kes jenayah melibatkan pisau, dan akan memberi tindak balas segera untuk melumpuhkan ancaman berkenaan sebaik sahaja dimaklumkan," kata Cik Sun.
"Jika terdapat maklumat mengenai ancaman khusus atau jika tahap ancaman umum meningkat, polis akan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan seperti menambah kekerapan rondaan. Mereka juga akan mendampingi pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan langkah-langkah keselamatan sewajarnya dilaksanakan."
Dalam kes serangan di Gereja St Church, di mana seorang paderi ditikam pada bahagian mulut semasa upacara keagamaan pada lewat petang, para penganut termasuk pasukan Respons Kecemasan Archdiocesan membantu menahan suspek.
Suspek iaitu rakyat Singapura, Basnayake Keith Spencer didakwa kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
"Walaupun kejadian jenayah melibatkan pisau adalah rendah, ia juga penting untuk kita semua tahu bagaimana untuk memberi respons apabila serangan sedemikian berlaku," kata Cik Sun, sambil menukil serangan di Gereja St Joseph sebagai contoh.
Beliau berkata dua penganut gereja membantu menahan suspek manakala penganut lain memberi pertolongan kecemasan kepada paderi itu sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
BINA DAYA KETAHANAN
Cik Sun juga berkata ia penting untuk "secara sistematik" membina daya ketahanan masyarakat terhadap kecemasan, iaitu sesuatu yang dilakukan sepanjang beberapa tahun ini.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), sebagai contoh telah bekerjasama dengan para pemilik bangunan dan pengerusi di merata Singapura menerusi Kumpulan Pemantau Keselamatan untuk menjalankan pemeriksaan audit keselamatan, berkongsi amalan terbaik dan memberi latihan mengenai keselamatan bangunan dan kesedaran keselamatan.
Pihak kementerian juga bekerja rapat dengan masyarakat dan pertubuhan keagamaan serta mendampingi masyarakat lebih meluas bersama agensi-agensi rakan kongsinya, kata Cik Sun.
"Secara bersama, langkah-langkah ini bantu memastikan tahap keselamatan awam yang tinggi, kesedaran terhadap keselamatan dan memupuk kesediaan bagi keadaan luar jangka dalam masyarakat," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.