Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada lonjakan jangkitan COVID-19 semasa Tahun Baru Cina, jumlah kes 'agak rendah', kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jan 2023 07:02PM Dikemas Kini : 27 Jan 2023 10:46PM
SINGAPURA: Jumlah kes jangkitan harian COVID-19 di Singapura tidak meningkat dengan ketara semasa cuti Tahun Baru Cina.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (27 Jan).

Semasa berucap di pembukaan rasmi rumah jagaan NTUC Health Jurong Spring, Encik Ong berkata bahawa jumlah kes jangkitan "agak rendah, (sekitar) tiga angka", yang tidak disaksikan Singapura sejak sekian lama.

Pada Isnin (23 Jan), iaitu hari kedua sambutan Tahun Baru Cina, Singapura melaporkan 78 kes baru COVID-19. Jumlah tersebut meningkat kepada sekitar 500 kes pada Khamis (26 Jan).

Perangkaan tersebut dianggap konsisten dengan lonjakan pada jumlah kes COVID-19 yang biasanya dilihat selepas cuti hujung minggu yang panjang.

"Kami sentiasa bersiap sedia (menghadapinya) selepas cuti hujung minggu yang panjang," jelas Encik Ong.

"Biasanya terdapat lonjakan besar pada jumlah kes jangkitan, serta peningkatan pada jumlah kunjungan ke jabatan kecemasan."

"Keadaannya bagaimanapun tidak seburuk yang dijangkakan."

Beliau menambah bahawa jabatan-jabatan kecemasan bertindak pantas untuk menangani keadaan, yang menurut Encik Ong, amat "membanggakan".

"Saya akur bahawa kita tidak lagi memantau perangkaan sedemikian dengan begitu teliti. Namun sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina, saya meneliti perangkaan tersebut dan situasinya dengan teliti," ujar Encik Ong. Beliau yakin bahawa keadaan COVID-19 di Singapura sudah stabil.

Beliau juga menarik perhatian bahawa ramai warga Singapura bimbang tentang "gelombang jangkitan yang besar" menyusuli pembukaan semula sempadan China, dan mungkin terfikir bagaimana ia akan menjejas situasi COVID-19 di Singapura.

"Saya telah memberikan penjelasan yang panjang lebar di Parlimen," jelas Encik Ong.

"(Jumlah) kes import dari China amat rendah kerana bilangan penerbangan juga tidak banyak. Kita hanya beroperasi pada kapasiti 10 peratus berbanding tempoh sebelum COVID-19 melanda."

Singapura juga memerhatikan jumlah kes import dari China sepanjang minggu lalu, dedah beliau.

Encik Ong mendedahkan bahawa tiada kes import dilaporkan setakat ini, atau kes jangkitan mungkin dianggap begitu ringan sehinggakan ia ditangani tidak berbeza daripada influenza biasa.

"Bilangan pelawat dari China yang dijangkiti COVID-19 dan dimasukkan ke hospital-hospital kita adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian."

Sejak 1 Disember lalu, hanya satu kes dilaporkan, melibatkan seorang warga Singapura yang pulang dari China.

Dalam pada itu, Encik Ong menarik perhatian bahawa situasi COVID-19 di Singapura adalah stabil.

Beliau menambah: "Kami menantikan kehidupan kembali ke paras normal semula dan semoga ia tidak begitu lama lagi."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan