Skip to main content

Singapura

Tiada laporan kesan mudarat dalam kalangan kanak-kanak 5-11 tahun selepas divaksin, dedah HSA

Tiada kesan sampingan serius yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima dengan 11 tahun yang sudahpun mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat hujung Disember tahun lalu, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (19 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jan 2022 05:13PM Dikemas Kini : 19 Jan 2022 09:07PM

SINGAPURA: Tiada kesan sampingan serius yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima dengan 11 tahun yang sudahpun mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat hujung Disember tahun lalu, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (19 Jan).

Program vaksinasi COVID-19 dilancarkan untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada 27 Disember 2021.

Enam laporan tindak balas "tidak serius" terhadap vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty - satu-satunya vaksin yang diluluskan untuk kumpulan usia tersebut - dilaporkan. Ia membentuk 0.03 peratus daripada 20,327 dos yang disuntik.

Daripada enam kes tersebut, tiga adalah tindak balas alahan seperti gatal-gatal, bengkak pada kelopak mata, muka dan bibir manakala satu laporan masing-masing melibatkan pening kepala, demam dan pernafasan pantas. Demikian menurut HSA dalam kemas kini keselamatan vaksin.

Ini adalah kemas kini kali kesembilan seumpamanya mengenai keselamatan vaksin COVID-19, meliputi tempoh sejak pelancaran program nasional itu pada 30 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021.

Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas, HSA menyatakan ia menerima 1,170 laporan kesan sampingan, membentuk 0.18 peratus daripada 663,239 yang diberikan. Vaksinasi bagi kumpulan usia tersebut bermula pada 3 Jun.

Daripada jumlah tersebut, 83 adalah kesan sampingan serius termasuk tindak balas alahan, masalah kulit, sawan, pening kepala, sinkop (pengsan dan hilang kesedaran buat seketika), miokarditis, perikarditis dan takikardia, menurut HSA.

PERANGKAAN KESELURUHAN MRNA

Lebih 11.4 juta dos vaksin Pfizer dan Moderna/Spikevax sudahpun diberikan setakat hujung Disember 2021. Daripada jumlah itu, 14,729 atau 0.13 peratus insiden disyaki kesan sampingan dilaporkan.

Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan adalah konsisten dengan yang biasa disaksikan berikutan vaksinasi, menurut HSA. Ia termasuk tindak balas alahan, pening kepada, sesak nafas, sesak dada atau rasa tidak selesa, rasa berdebar-debar serta tindak balas pada bahagian suntikan.

"Ini biasanya reda dalam masa beberapa hari," tambah HSA.

Sejumlah 747 laporan digolongkan sebagai kesan sampingan serius, membentuk 0.007 peratus daripada kesemua dos yang diberikan. Kesan sampingan serius yang paling kerap dilaporkan adalah anafilaksis (87 laporan) dan tindak balas alahan teruk lain (53 laporan). Kes-kes lain termasuk masalah imunologi, kardiovaskular, buah pinggang dan pernafasan.

KESAN SAMPINGAN TERHADAP DOS PENGGALAK

Bagi individu yang mengambil suntikan dos penggalak, terdapat 49 laporan mengenai kesan sampingan serius atau 0.002 peratus daripada 2.2 juta dos yang diberikan. Program dos penggalak dilancarkan pada 15 September.

Daripada jumlah itu, 10 kes adalah miokarditis dan perikarditis, masing-masing disebabkan keradangan pada otot jantung dan lapisan luar jantung.

Kesemua 10 kes itu berlaku selepas mengambil vaksin Pfizer, menurut HSA.

Namun "perlu diingatkan bahawa kadar yang lebih tinggi daripada individu (sekitar 70 peratus) menerima vaksin ini sebagai dos penggalak mereka", menurut HSA.

Pihak berkuasa menambah ia akan "memantau rapi kesan sampingan dan memaklumkan kepada orang ramai tentang sebarang insiden penting serta mengambil tindakan kawal selia relevan yang diperlukan".

HSA juga menerima 401 laporan tentang kesan sampingan tidak serius melibatkan vaksin Pfizer dan 172 laporan berkaitan vaksin Moderna sebagai dos penggalak.

VAKSIN COVID-19 LAIN

Menyusuli pemberian 332,379 dos vaksin Sinovac-CoronaVac, 271 kejadian disyaki kesan sampingan (0.08 peratus) termasuk 20 kes (0.007 peratus) dilaporkan.

Sebanyak 35 kejadian disyaki kesan sampingan (0.05 peratus), termasuk empat kes kesan sampingan serius (0.005 peratus), dilaporkan selepas 75,440 vaksin Sinopharm diberikan.

“Perlu diingatkan bahawa jenis dan jumlah laporan diterima bagi vaksin COVID-19 yang berbeza tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana vaksin-vaksin itu digunakan dalam program vaksinasi buat tempoh masa berbeza," jelas HSA.

"Vaksin COVID-19 yang tidak diaktifkan diberikan hanya kepada jumlah penduduk yang sangat kecil (3.5 peratus) berbanding dengan skala penggunaan lebih besar untuk vaksin mRNA," tambahnya.

Vaksinasi bagi Sinovac-CoronaVac bermula pada 18 Jun manakala pelancaran vaksin Sinopharm bermula sekitar dua bulan kemudian pada 30 Ogos.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita