Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada lagi nombor telepol dan tabung TAA

Tabung Amal Aidilfitri (TAA) untuk tahun 2020 tidak menetapkan sebarang sasaran kutipan derma tahun ini dek pelbagai cabaran berkaitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tabung Amal Aidilfitri (TAA) untuk tahun 2020 tidak menetapkan sebarang sasaran kutipan derma tahun ini dek pelbagai cabaran berkaitan COVID-19.

Mentelah lagi salah satu sumber kutipannya - iaitu talian telepol TAA - yang tahun lalu menyumbang hampir setengah juta dolar, ditiadakan tahun ini. Ini menyusuli satu peraturan baru oleh Singtel untuk menghentikan perkhidmatan telepol 1900.

TIADA LAGI NOMBOR TELEPOL '1900' DAN TABUNG TAA

TAA sudah cukup sinonim di kalangan masyarakat Islam Singapura setiap kali tibanya bulan Ramadan. Ditubuhkan pada 1992, ia bertujuan membantu golongan yang kurang bernasib baik menerusi derma ikhlas masyarakat pemurah.

Namun, penularan wabak COVID-19 di negara ini telah memberi impak besar kepada usaha pengumpulan dana TAA.

Ekoran langkah pemutus rantaian jangkitan yang sedang dilaksanakan sekarang, tabung-tabung TAA yang lazimnya diletakkan di Tanjong Katong Complex, Joo Chiat Complex dan Pasar Geylang Serai kini tidak dapat diletakkan.

Begitu juga satu lagi penjana derma TAA, iaitu talian telepolnya.

Menurut seorang jurucakap Singtel, langkah itu berkuatkuasa setelah pengenalan Akta Perkhidmatan Pembayaran memerlukan usaha wajar kepada sumber dan destinasi wang dana termasuk mengesahkan dana dari penderma yang dihantar melalui syarikat telco yang lain. Oleh demikian, Singtel tidak lagi dapat mengendalikan dan menuruskan khidmat seperti itu.

Namun, ia tetap memberikan sokongan tinggi atas usaha pengumpulan dana dan percaya bahawa TAA akan dapat mencari cara-cara lain untuk mengumpul dana bagi meneruskan kerja murni mereka.

"Dengan tiadanya talian amal TAA atau talian 1900 dan bilangan tabung yang kurang disediakan untuk mengutip dana, maka TAA menjangkakan kutipan tahun ini sudah tentunya akan berkurangan.

"Kami tidak meletakkan sasaran yang dapat dikumpulkan pada tahun ini kerana kaedah cara kami mengumpul dana berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini," kata pengurus kanan TAA, Encik Mohd Yahya Zakaria.

TAA.SG - WADAH BARU BERIKAN SUMBANGAN

Lantaran itu, TAA menyatakan ia kini akan lebih memberi tumpuan kepada wadah online bagi mengumpul dana demi memudahkan masyarakat menghulurkan sumbangan.

Tahun lalu ia mengumpulkan hampir $1.1 juta - angka yang kini mungkin sukar untuk dicapainya kali ini.

Mengulas tentang inisiatifnya itu, Encik Yahya menambah: "Kami jangkakan jumlah pengagihan dana tahun ini mungkin tertinggi dalam masa 10 tahun memandangkan kami telah menerima lebih daripada 3,600 pemohonan bantuan."

Peningkatan jumlah permohonan bantuan itu dipacu oleh usaha proaktif TAA mendampingi golongan daif menerusi pelbagai wadah.

TAA kini juga berhasrat bekerjasama dengan beberapa pertubuhan dan rakan projek dalam platform e-bazar mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan