Skip to main content

Singapura

Tiada lagi lawatan berpandu guna beca roda tiga di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada lagi lawatan berpandu guna beca roda tiga di SG

Trishaw Uncle menganjurkan lawatan berpandu ke daya tarikan pelancong di Singapura. (Gambar: Trishaw Uncle)

SINGAPURA: Singapura tidak lagi mempunyai beca roda tiga di jalan rayanya sejak Jun 2023, selepas kontrak pengendali terakhir di negara ini tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

Pengendali terbabit, Trishaw Uncle, menganjurkan lawatan berpandu dengan menaiki beca roda tiga dari Albert Mall Trishaw Park di Queen Street sejak 2010.

Eksekutif Trishaw Uncle, Tieu Xin Yue, memberitahu Mediacorp bahawa syarikat itu mendapatkan lesen untuk beroperasi melalui kontrak bersama Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

"Sebelum tempoh kontrak berakhir, iaitu pada Mei lalu, kami dimaklumkan bahawa kami perlu pulangkan tapak itu bagi kegunaan lain," kata Cik Tieu pada Selasa (9 Apr).

Trishaw Uncle adalah pengendali beca roda tiga berlesen terakhir saat kontraknya tamat tempoh pada lewat Mei 2023, tambah beliau.

Pengarah ejen-ejen pelancongan dan pemandu pelancong STB, Annie Chang, mengesahkan bahawa tapak Trishaw Park di Queen Street "dipulangkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk disemak semula penggunaannya".

"Buat masa ini, tidak ada khidmat beca roda tiga lain yang sedang beroperasi di Singapura," tambah beliau.

Cik Tieu berkata, selepas Trishaw Uncle dimaklumkan pihaknya tidak boleh terus menggunakan ruang di Queen Street, ia menghubungi STB tentang kemungkinan menggunakan tapak lain.

Tishaw Uncle menyenaraikan lokasi di Chinatown, Marina Bay dan Taman di Pesisiran untuk perbincangannya bersama STB pada tahun lalu.

Malangnya syarikat tidak dapat menemukan tempat yang sesuai. Pihaknya dimaklumkan bahawa tapak-tapak yang disenaraikan mempunyai kegunaan lain atau pihaknya tidak dibenarkan menggunakan ruang itu, kata Cik Tieu.

Beliau menambah, selain memerlukan tempat untuk meletak beca roda tiga, syarikat itu juga perlu menimbangkan akses ke laluan lawatan berpandu ketika memilih tapak.

"Ia perlu memenuhi semua kriteria sebelum kami memutuskan ia tempat yang sesuai," katanya.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita