Tiada lagi had tempoh pekerjaan bagi pemegang permit kerja; usia maksimum dinaikkan kepada 63 tahun
Singapura sedang membuat perubahan besar pada rangka kerja permit kerja dalam usaha memberi majikan lebih kelonggaran untuk menggajikan dan mengekalkan bakat.
Pemegang permit kerja tidak lagi tertakluk kepada tempoh pekerjaan maksimum. (Gambar: CNA/Calvin Oh)
- Mulai 1 Julai, para pemegang permit kerja tidak lagi tertakluk kepada tempoh pekerjaan maksimum, yang kini antara 14 hingga 26 tahun berdasarkan tahap kemahiran, sektor dan negara asal.
- Pemegang permit kerja masih tertakluk kepada usia maksimum untuk bekerja di sini.
- Menurut MOM, meningkatkan usia maksimum bagi golongan pekerja tersebut akan memberi kelonggaran kepada firma-firma untuk mengekalkan pekerja yang lebih berpengalaman dan mahir.
- Setakat sehingga Jun 2024, Singapura mempunyai kira-kira 442,900 pemegang permit kerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan.
Mulai 1 Julai, para pemegang permit kerja tidak lagi tertakluk kepada tempoh pekerjaan maksimum, yang kini antara 14 hingga 26 tahun berdasarkan tahap kemahiran, sektor dan negara asal.
Ini selaras dengan dasar yang telah disediakan untuk pekerja dari Malaysia dan empat sumber Asia Utara - Hong Kong, Macau, Korea Selatan dan Taiwan - yang sudah tiada sekatan pada tempoh pekerjaan mereka.
Pemegang permit kerja masih tertakluk kepada usia maksimum untuk bekerja di sini. Ia akan dinaikkan daripada 60 kepada 63 tahun pada 1 Julai, selaras dengan umur persaraan rakyat tempatan.
Had usia bagi pemohon permit kerja baharu juga akan dinaikkan kepada 61 tahun, meningkat daripada 50 tahun sekarang bagi bukan warga Malaysia dan 58 bagi warga Malaysia.
Perubahan itu diumumkan pada Khamis (6 Mac) sebagai sebahagian daripada rancangan perbelanjaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk tahun kewangan akan datang.
Menurut MOM, meningkatkan usia maksimum bagi golongan pekerja tersebut akan memberi kelonggaran kepada firma-firma untuk mengekalkan pekerja yang lebih berpengalaman dan mahir.
MOM menambah bahawa majikan berada pada kedudukan terbaik untuk menilai manfaat mengekalkan pekerja mereka yang lebih berpengalaman, berbanding kos insurans kesihatan yang lebih tinggi yang perlu mereka tanggung untuk pekerja yang lebih tua ini.
Setakat sehingga Jun 2024, Singapura mempunyai kira-kira 442,900 pemegang permit kerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan. Perangkaan itu merupakan paras tertinggi sejauh ini, menjangkaui paras sebelum pandemik sebanyak 17 peratus, menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng.
Berucap di Parlimen pada Khamis (6 Mac), Dr Tan berkata keraguan terhadap bakat asing adalah wajar.
"Apabila kita melihat warga asing, kita fikir, 'mereka akan mengambil pekerjaan rakyat tempatan'. Tetapi apa yang lebih sukar untuk dilihat ialah, tanpa akses kepada warga asing, syarikat-syarikat dan pekerjaannya mungkin tidak berada di Singapura," katanya.
"Lantaran itu, sangat mudah untuk menggunakan hujah-hujah sedemikian untuk menyindir bahawa ia adalah sesuatu yang sudah dijangkakan. Jika anda menggugurkan seorang warga asing, anda mendapat satu lagi pekerjaan untuk rakyat tempatan," kata Dr Tan, sambil merujuk kepada ucapan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai.
Dr Tan berkata sepanjang 10 tahun lalu, bilangan pemegang pas kerja dan Pas S meningkat sebanyak 38,000, manakala jumlah karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dalam kalangan penduduk tempatan meningkat sebanyak 382,000 - perbezaan 10 kali ganda.
"Kita tidak seharusnya berpegang kepada pendirian 'hanya rakyat Singapura sahaja' kerana ini akan menyekat bakat yang diperlukan untuk memikat perniagaan global yang memberi manfaat kepada rakyat Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.