Skip to main content

Singapura

Tiada komunikasi dengan Raeesah tentang berbohong meski 2 bulan Pritam sudah tahu

Ketua Pembangkang itu juga mengakui bahawa apabila beliau bertemu dengan Cik Raeesah pada 3 Oktober, beliau tidak secara khusus memberitahu Cik Raeesah supaya memberitahu perkara sebenar.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Dec 2021 06:17PM Dikemas Kini : 12 Dec 2021 09:22PM

SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen bahawa tiada komunikasi antara beliau dengan bekas anggota parti tersebut, Raeesah Khan dari 8 Ogos, iaitu pada hari Cik Raeesah bertemu dengan para pemimpin WP untuk menjelaskan beliau berbohong di Parlimen pada 3 Ogos, sehingga 3 Oktober iaitu sehari sebelum Parlimen bersidang pada bulan itu.

Ketua Pembangkang itu juga mengakui bahawa apabila beliau bertemu dengan Cik Raeesah pada 3 Oktober, beliau tidak secara khusus memberitahu Cik Raeesah supaya memberitahu perkara sebenar.

Bagaimanapun, Encik Singh berkata inilah apa yang dimaksudkan beliau berdasarkan perkataan-perkataan yang dipilih untuk digunakannya.

Menurut laporan ketiga jawatankuasa itu mengenai perbicaraan ke atas pembohongan Cik Raeesah di Parlimen, yang dikeluarkan pada Ahad (12 Dis), Encik Singh memberitahu Cik Raeesah bahawa isu berkenaan mungkin dibangkitan pada 4 Oktober dan, sekiranya ia berlaku, beliau harus "mengambil tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan atas isu tersebut".

Encik Singh berkata inilah yang dimaksudkannya apabila beliau berkata beliau "tidak akan menghakiminya".

Encik Singh juga menafikan beliau menyuruh Cik Raeesah untuk "terus menutup mulut dan merahsiakan pembohongannya".

Ketua Pembangkang itu memberikan keterangan itu pada Jumaat dan laporan yang dikeluarkan pada Ahad mengandungi rumusan keterangan yang dibentangkannya.

Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap, memberikan keterangannya pada Khamis dan jawatankuasa itu mengeluarkan rumusan keterangan beliau dalam laporan keduanya pada Sabtu.

Ia mendedahkan bahawa tiga pemimpin kanan WP - Encik Singh, Encik Faisal dan pengerusi parti Sylvia Lim - sudahpun tahu tentang pembohongan Cik Raeesah selama berbulan-bulan tetapi mereka tidak mendedahkan perkara berkenaan kepada pemimpin lain mahupun anggotanya.

Jawatankuasa itu bertanya kepada Encik Singh pada Jumaat sama ada penyelindungan fakta bahawa Cik Raeesah mengaku tentang pembohongannya kepada sebilangan pemimpin WP pada 8 Ogos dan Encik Singh kemudian bercakap dengannya pada 3 Oktober, akan memberikan gambaran seolah-olah semuanya adalah perbuatan Cik Raeesah.

Encik Singh menjawab ia tidak relevan untuk menyebut tentang fakta-fakta itu dalam kedua-dua kenyataan media yang sudahpun dikeluarkannya.

Jawatankuasa itu juga bertanya kepada Encik Singh tentang ucapan Cik Raeesah yang mendakwa secara palsu bahawa seorang mangsa serangan seksual dilayan dengan cara yang tidak sensitif apabila beliau membuat aduan di sebuah balai polis.

Jawatankuasa tersebut memberitahu Encik Singh bahawa dakwaan palsu itu boleh mencemarkan nama baik pihak polis namun Encik Singh menyangkalnya dengan mengatakan bahawa pihak polis tidak mungkin akan menerima kesan buruk daripada pembohongan seumpama itu.

Encik Singh ditanya sama ada "okey untuk berbohong di Parlimen di mana pembohongan itu berkaitan dengan tindak balas polis, reaksi buruk... terhadap satu aduan oleh seorang mangsa serangan seksual".

Dalam responsnya, Encik Singh berkata polis bukanlah sebuah pertubuhan yang lemah dan beliau tidak merasakan nama baik dan kewibawaan polis akan tercemar dengan dakwaan tidak benar Cik Raeesah terhadap mereka.

Jawatankuasa itu mengeluarkan laporan pertamanya pada 3 Disember, yang mengandungi keterangan daripada Cik Raeesah yang berkata beliau telah disuruh oleh tiga pemimpin kanan WP untuk terus menutup mulut dan merahsiakan pembohongannya di Parlimen.

Cik Raeesah juga memberi keterangan secara bersumpah bahawa beliau diberitahu oleh para pemimpin bahawa jika beliau dan parti itu tidak dipertanggungjawabkan ke atas pembohongan itu, maka tiada keperluan untuk memberikan penjelasan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut pada Sabtu, Encik Faisal mengesahkan bahawa Cik Raeesah bertemu Encik Singh, Cik Lim dan dirinya sendiri pada 8 Ogos, di mana beliau mengaku berbohong di Parlimen pada 3 Ogos.

Bagaimanapun ketiga-tiga pemimpin itu tidak memberi sebarang reaksi kerana mereka berasa terkejut setelah diberitahu bahawa Cik Raeesah pernah menjadi mangsa serangan seksual semasa berusia 18 tahun ketika menuntut di Australia.

Laporan pertama daripada jawatankuasa itu juga meliputi keterangan daripada dua anggota kader WP bahawa para pemimpin mereka seharusnya mendedahkan kepada umum lebih awal bahawa mereka tahu tentang pembohongan Cik Raeesah.

Laporan dan rakaman video keterangan Encik Singh sudahpun disediakan kepada Parlimen serta umum melalui laman Parlimen. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita