Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada khidmat MRT Jurong East-Buona Vista esok; keretakan baharu dikesan pada segmen landasan semasa ujian tekanan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Sep 2024 06:39PM Dikemas Kini : 29 Sep 2024 10:41PM
SINGAPURA: Penumpang akan mengalami lebih banyak gangguan pada Laluan Timut-Barat sedang khidmat MRT di beberapa stesen yang terjejas antara Jurong East dengan Bouna Vista tidak akan disambung semula pada Isnin (30 Sep), seperti yang diharapkan.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata bahawa mereka berusaha memulihkan perkhidmatan menjelang Isnin, namun Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali rel SMRT kini mengangguhkan tarikh yang disasarkan kepada Selasa (1 Okt).

Dalam satu kenyataan pada Ahad (29 Sep), LTA dan SMRT menyatakan bahawa dalam ujian tekanan pada landasan sepanjang hujung minggu ini, 12 retakan baharu, yang tidak dikesan sebelum ini, ditemui pada bahagian rel yang tidak digantikan di landasan menghala ke barat dari Clementi ke Depoh Ulu Pandan.

“Keretakan ini disebabkan oleh segmen rel yang dilemahkan oleh kereta api yang rosak ketika ia dalam perjalanan pulang ke depoh pada pagi Rabu,” menurut LTA dan SMRT.

Oleh itu, jurutera LTA dan SMRT akan memerlukan lebih banyak masa untuk menggantikan 10 segmen rel pada hari Ahad.

Selepas penggantian rel, lebih banyak ujian tekanan akan dijalankan pada hari Isnin untuk memastikan keselamatan dan integriti rel sebelum menyambung semula perkhidmatan penuh penumpang.

Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat: "Jika cuaca mengizinkan, kami menjangkakan penggantian rel akan disiapkan malam ini, diikuti oleh ujian susulan yang akan diteruskan pada sebahagian besar esok."

"Bagi memastikan keselamatan penumpang, SMRT perlu menangguhkan penyambungan semula khidmat kepada Selasa, berdasarkan keadaan cuaca dan setelah ujian menyeluruh diselesaikan."

LTA dan SMRT menyatakan bahawa ujian menyeluruh akan dijalankan dan mereka akan memastikan keperluan khusus dipenuhi sebelum menyambung semula perkhidmatan penuh bagi penumpang.

“Kami mengharapkan pemahaman dan kesabaran penumpang sementara pekerja kami melakukan yang terbaik untuk menyambung semula perkhidmatan dengan selamat secepat mungkin,” menurut LTA dan SMRT.

Presiden SMRT Trains Lam Sheau Kai mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kesabaran mereka sedang kerja-kerja giat dijalankan.

Beliau berkata: "Semasa fasa ujian semalam, kami menemui 12 keretakan baharu, di sepanjang trek terjejas. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk membaiki keretakan baharu ini."

"Selepas itu, ujian yang ketat perlu dilakukan sebelum kereta api dapat digunakan semula dengan selamat."

12 keretakan baharu itu dikesan sepanjang 800 meter selepas stesen Clementi menghala ke Depoh Ulu Pandan. Secara keseluruhan, 46 keretakan yang dikesan setakat ini menjangkau 2.55 kilometer antara stesen Dover hingga melepasi stesen Clementi.

Para penumpang dinasihatkan untuk terus menggunakan perkhidmatan bas biasa percuma yang tersedia antara stesen Boon Lay dan Queenstown dan perkhidmatan bas ulang-alik percuma antara Jurong East dengan Buona Vista, menurut SMRT dan LTA.

SMRT juga akan meneruskan pengendalian perkhidmatan kereta api ulang-alik antara stesen Buona Vista dengan Queenstown dan antara stesen Jurong East dengan Boon Lay di kedua-dua arah.

GARIS MASA GANGGUAN

Gangguan itu bermula pada pagi Rabu (25 Sep) ketika MRT yang rosak sedang dalam perjalanan pulang ke depoh Ulu Pandan.

Komponen rosak yang dikenali sebagai kotak gandar terjatuh ke landasan, menyebabkan bogie - atau bahagian bawah gerabak kereta api yang beroda - terkeluar dari landasan antara stesen MRT Dover dengan Clementi.

Ini menyebabkan kerosakan besar pada trek dan peralatan lain.

Jurutera menemui 34 keretakan rel kereta api sepanjang 1.6 kilometer, kerosakan pada kabel kuasa, rel ketiga yang membekalkan kuasa dan tiga mesin titik landasan - yang digunakan untuk memindahkan kereta api ke landasan yang berbeza.

Kerosakan itu mengganggu perkhidmatan MRT di sembilan stesen dari Boon Lay hingga ke Queenstown.

Khidmat kereta api ulang-alik yang beroperasi pada selang 10 minit kemudiannya dijalankan antara Boon Lay dengan Jurong East, dan antara Buona Vista dengan Queenstown.

Bagaimanapun, tiada khidmat kereta api antara stesen Jurong East dengan Buona Vista.

Pihak berkuasa pada mulanya berharap untuk memulihkan sebahagian perkhidmatan di laluan Jurong East-Buona Vista dengan perkhidmatan ulang-alik menggunakan satu landasan. Namun rancangan itu ditangguhkan untuk mengutamakan penyambungan semula perkhidmatan penuh lebih awal.

Pihak berkuasa kemudian menyatakan pada hari Khamis (26 Sep) bahawa SMRT menyasarkan untuk memulihkan perkhidmatan penuh menjelang Isnin.

Pada Sabtu (28 Sep), SMRT berkata bahawa ia berjaya memulihkan dan menyelesaikan ujian fungsi pada tiga mesin titik landasan dan peralatan tepi rel yang berkaitan.

Ia menambah bahawa sebaik sahaja kerja pembaikan dimuktamadkan, ia akan menghabiskan sepanjang hari Ahad untuk menjalankan ujian fungsi dan keselamatan sistem yanmenyeluruh, termasuk pemeriksaan pada landasan, bekalan kuasa dan isyarat kereta api, serta menjalankan kereta api pada kelajuan berbeza untuk memastikan operasi berjalan lancar.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan