Tiada khidmat MRT di beberapa bahagian NSL, EWL dan Laluan Circle akibat gangguan tenaga
Gara-gara gangguan tenaga, tiada khidmat kereta api di Laluan Utara-Selatan antara stesen-stesen Jurong East dengan Marsiling dan di Laluan Timur-Barat antara stesen-stesen Dover dengan Tuas Link, menurut SMRT pada lewat petang Rabu (14 Okt).
Stesen MRT Yew Tee bergelapan pada 14 Okt 2020. (Gambar: Yang Long)
SINGAPURA: Gara-gara gangguan tenaga, tiada khidmat kereta api di Laluan Utara-Selatan antara stesen-stesen Jurong East dengan Marsiling dan di Laluan Timur-Barat antara stesen-stesen Dover dengan Tuas Link, menurut SMRT pada lewat petang Rabu (14 Okt).
Ia kemudian mendedahkan bahawa Laluan Circle juga terjejas dengan tiada khidmat kereta api antara stesen-stesen Serangoon dengan Harbourfront akibat gangguan tenaga. Ini dinyatakan dalam satu catatan Twitter pada sekitar 8.15 malam.
Pengendali pengangkutan itu juga meminta para penumpang supaya menambah lagi 25 minit pada perjalanan mereka antara stesen-stesen Dhoby Ghaut dengan Serangoon di Laluan Circle.
Khidmat bas percuma dan khidmat sambungan disediakan antara Jurong East dengan Woodlands, antara Queenstown dengan Tuas Link serta antara Paya Lebar dengan Harbourfront, menurut SMRT di Twitternya.
Syarikat itu menambah, penumpang dinasihati supaya mengelakkan stesen MRT Jurong East.
Gambar yang dihantar oleh seorang pembaca Mediacorp menunjukkan ramai orang bersesak di stesen Jurong East setelah berlaku gangguan pada khidmat kereta api.
(Stesen MRT Jurong East setelah gangguan khidmat kereta api berlaku pada 14 Okt 2020. Gambar: Boony)
Seorang pembaca Mediacorp, Yang Long, yang berada di stesen Yew Tee di bahagian Laluan Utara-Selatan yang terjejas, memetik gambar stesen itu dalam kegelapan pada sekitar 7.15 malam.
(Sebuah pintu lift dibuka di stesen MRT Yew Tee pada 14 Okt 2020. Gambar: Yang Long)
Beliau juga memetik beberapa gambar yang menunjukkan pintu depan dibuka pada sebuah kereta api yang berhenti di landasan.
Beliau menganggarkan kereta api itu berada di tempat yang sama selama kira-kira 40 minit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.