Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada khidmat MRT antara Tanah Merah dan Tampines dari 7 hingga 10 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada khidmat MRT antara Tanah Merah dan Tampines dari 7 hingga 10 Dis

Stesen MRT Tampines. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 05 Nov 2024 05:58PM Dikemas Kini : 06 Nov 2024 12:29AM
SINGAPURA: Khidmat MRT antara Stesen Tanah Merah dan Stesen Tampines akan digantung dari 7 Dis hingga 10 Dis, sedang kerja-kerja dijalankan untuk memudahkan penyambungan landasan antara Laluan Timur-Barat (EWL) dan Depot Bersepadu East Coast (ECID) yang baharu.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa (5 Nov), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa kerja-kerja itu adalah sebahagian daripada persiapan untuk pembukaan ECID pada 2026. LTA menambah bahawa khidmat MRT tidak akan beroperasi di segmen-segmen EWL yang terjejas sepanjang tempoh tersebut atas "sebab-sebab keselamatan".

Khidmat bas ulang-alik – Shuttle 7– akan beroperasi antara stesen Tampines, Simei dan Tanah Merah pada kekerapan tiga hingga lima minit, sedang khidmat MRT digantung.

Struktur tambang untuk khidmat bas ulang-alik adalah sama seperti yang digunakan untuk MRT.

Sebanyak 55 bas ulang-alik dua tingkat akan disediakan sepanjang tempoh penggantungan dari Sabtu hingga Selasa, dengan LTA juga menyediakan perhentian sementara untuk memudahkan penumpang yang perlu menunggu bas ini.

Penutupan laluan antara stesen Tanah Merah dan Tampines juga akan menjejas bahagian EWL yang terletak bersebelahan, menurut LTA.

Ini termasuk laluan antara stesen Tampines dan Pasir Ris, di mana MRT yang biasanya bergerak ke arah timur dari Tanah Merah ke Pasir Ris sebelum berpusing untuk menyediakan khidmat ke arah barat, tidak lagi dapat berbuat demikian.

Turut terjejas adalah jarak antara stesen Tanah Merah dan Lapangan Terbang Changi.

Untuk menanganinya, MRT ulang-alik akan beroperasi setiap lima minit antara stesen Tampines dan Pasir Ris, setiap lapan minit antara stesen Tanah Merah dan Singapore Expo, dan setiap 11 minit antara stesen Singapore Expo dan Lapangan Terbang Changi.

Pada Sabtu dan Ahad, khidmat MRT di EWL akan ditamatkan di Stesen Tanah Merah, sebelum berpatah balik.

Pada waktu sibuk Isnin dan Selasa, khidmat MRT di EWL akan berhenti secara bergilir antara stesen Tanah Merah dan Stesen Paya Lebar sebelum berpatah balik. Ini untuk membantu mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh tersebut.

LTA juga merancang untuk meningkatkan kekerapan MRT di Laluan Downtown (DTL) sepanjang tempoh yang terjejas, dengan empat lagi perjalanan ditambah setiap jam.

Para penumpang boleh menjangkakan tambahan 30 minit pada masa perjalanan mereka dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan merujuk kepada aplikasi MyTransport.SG LTA serta platform media sosial LTA dan SMRT untuk mendapatkan kemas kini.

Dianggarkan 100,000 penumpang akan terjejas setiap hari, secara purata, menurut jurucakap LTA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

KERJA-KERJA ECID BERJALAN LANCAR

Menurut LTA, kerja-kerja "sedang berjalan lancar" untuk ECID, yang dijadual akan menjadi depot empat dalam satu bersepadu yang pertama di dunia. Ia akan menempatkan tiga depot MRT dan satu depot bas dalam satu tapak.

Kerja-kerja struktur hampir siap, sementara pemasangan landasan MRT dan pemasangan perkhidmatan elektrik dan mekanikal dan sistem diteruskan.

"Apabila beroperasi kelak, ECID akan mengukuhkan daya tahan rangkaian MRT kami, di samping memberikan kami keupayaan yang lebih besar untuk menyesuaikan corak perkhidmatan dan menangani sebarang gangguan," kata LTA.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan