Tiada khidmat MRT antara Jurong East dan Buona Vista sepanjang Khamis; sasar sambung sebahagian khidmat jelang Jumaat
Pihak berkuasa berharap untuk menyambung semula sebahagian khidmat pada Jumaat, dengan khidmat ulang-alik kereta api satu laluan yang akan beroperasi antara kedua-dua stesen tersebut setiap 20 minit.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali kereta api SMRT menyatakan jurutera yang bekerja sepanjang malam mendapati "kerosakan yang meluas" pada peralatan landasan dan tepi landasan.
Ini mengakibatkan sebuah kereta api rosak sedang ia dalam perjalanan kembali ke depot Ulu Pandan.
Kerosakan itu, yang pertama seumpamanya yang berlaku pada kereta api SMRT, mengakibatkan kerosakan teruk.
Jurutera menemui sebanyak 34 keretakan kereta api sepanjang 1.6 kilometer landasan antara stesen Clementi dengan Dover, serta kerosakan pada tiga mesin yang digunakan untuk melencongkan kereta api ke landasan yang berbeza.
Rel ketiga tersebut yang membekalkan tenaga, serta kabel tenaga dan klip rel, juga rosak, dedah LTA dan SMRT.
Inilah yang mengakibatkan gangguan bekalan tenaga kira-kira pukul 9.25 pagi pada Rabu, menyebabkan kereta api lain berhampiran stesen Clementi terhenti. Kira-kira 850 penumpang di kereta api itu terpaksa berjalan di landasan tersebut dan dibawa kembali ke platform stesen berkenaan.
Khidmat kereta api juga terganggu di sebanyak sembilan stesen MRT antara Boon Lay dengan Queenstown.
Kira-kira 358,000 penumpang terjejas pada Rabu, menurut maklumat yang diberikan oleh LTA dan SMRT.
Sekitar 516,000 penumpang dianggarkan akan terjejas oleh gangguan khidmat tersebut yang berterusan pada Khamis.
KHIDMAT ULANG-ALIK KERETA API, BAS
SMRT akan terus menyediakan khidmat kereta api ulang-alik antara stesen Buona Vista dan Queenstown serta antara stesen Jurong East dengan Boon Lay.
Antara stesen MRT Buona Vista dengan Jurong East, khidmat bas ulang-alik juga akan tersedia.
LTA dan SMRT menyatakan sebanyak 80 bas dua tingkat dikerahkan untuk menyediakan khidmat ulang-alik percuma.
Selain itu, kira-kira 620 kakitangan daripada pelbagai agensi dan pengendali pengangkutan dikerahkan untuk menguruskan orang ramai sejak Khamis pagi. Mereka termasuk pegawai polis dan pekerja dari LTA, SMRT, SBS Transit dan Tower Transit.
Kereta api yang rosak berkenaan, yang dibuat oleh Kawasaki Heavy Industries, telah beroperasi selama 35 tahun.
LTA dan SMRT menyatakan semua kereta api Kawasaki Heavy Industries yang beroperasi pada Khamis sudah melepasi pemeriksaan fungsi kotak gandar.
Pada masa ini, terdapat sebanyak 48 kereta api sedemikian yang masih beroperasi.
"Jurutera dan juruteknik SMRT telah bekerja secara berterusan sejak semalam untuk memulihkan dan menggantikan peralatan landasan dan tepi landasan, dan kerja-kerja sedang dijalankan," tambah mereka.
"Keutamaan LTA dan SMRT adalah untuk menyambung semula khidmat kereta api secepat mungkin."
Presiden SMRT Trains Lam Sheau Kai berkata: "Kami faham ramai penumpang terjejas oleh insiden ini. Pasukan saya dan saya bekerja keras sepanjang malam, dan kami melakukan yang terbaik untuk memulihkan khidmat kereta api dengan selamat di kawasan yang terjejas itu. Keselamatan penumpang dan kakitangan kami adalah keutamaan kami."
MENTERI PENGANGKUTAN MOHON MAAF
Pada Khamis, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat memohon maaf kepada para penumpang atas gangguan khidmat tersebut. Encik Chee, yang sedang berada di Beijing bagi satu lawatan rasmi ketika insiden tersebut berlaku, berkata: "Bagi pihak Satu Keluarga Pengangkutan, saya ingin dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua penumpang kami atas gangguan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.