Tiada khidmat LRT antara Stesen Bukit Panjang-Senja selepas lelaki terjatuh ke landasan
Tiada khidmat LRT di laluan Bukit Panjang antara stesen Senja dengan Petir buat masa ini selepas seorang lelaki terjatuh ke landasan, menurut pengendali pengangkutan SMRT pada Isnin (18 Mei).
Sebuah LRT kelihatan di stesen LRT Bukit Panjang semasa gangguan khidmat pada 19 Julai 2025. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Stesen LRT Segar sekitar pukul 5.50 pagi.
“Berdasarkan siasatan awal, seorang lelaki dilihat terjatuh ke landasan di hadapan sebuah kereta api yang sedang menghampiri sekitar pukul 5.00 pagi,” menurut polis, sambil menambah bahawa lelaki berusia 68 tahun itu ditemui terbujur kaku dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang unsur khianat dan siasatan masih dijalankan.
SMRT mula memaklumkan tentang “kelewatan besar” menerusi catatannya di Facebook pada pukul 6.00 pagi.
Ia kemudian menyatakan khidmat terjejas akibat "pencerobohan landasan".
Dalam kemas kininya, SMRT memaklumkan bahawa seorang lelaki dilihat menceroboh landasan berhampiran Stesen Segar pada sekitar 5.00 pagi.
Sekitar sejam kemudian, SMRT mengemas kini nasihat perjalanannya dengan menyatakan bahawa lelaki tersebut “dilihat terjatuh ke landasan” di Stesen Segar.
“Buat masa ini tiada khidmat kereta api antara Stesen Senja dengan Bukit Panjang,” menurut SMRT, sambil menambah bahawa khidmat antara Stesen Petir dengan Senja juga digantung buat sementara waktu awal dari itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dengan selamat di landasan.
KHIDMAT BAS PERCUMA
Khidmat LRT antara stesen Choa Chu Kang dengan Bukit Panjang masih beroperasi, manakala khidmat bas ulang-alik percuma serta bas awam turut diaktifkan bagi membantu penumpang yang terjejas, menurut SMRT.
Para penumpang yang memerlukan e-Travel Chit boleh mengemukakan permohonan menerusi laman SMRT.
Sistem BPLRT merupakan sebuah laluan sepanjang lapan kilometer yang menghubungkan estet-estet perumahan di Bukit Panjang dan Choa Chu Kang dengan Laluan Utara-Selatan serta Laluan Downtown.
LTA pada November lalu menyatakan sekitar 88 peratus kerja-kerja pembaharuan sistem BPLRT sudah disiapkan dan ia dijadual selesai sepenuhnya menjelang suku terakhir 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.