Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada kesan sampingan serius dalam kalangan kanak-kanak divaksin sejauh ini: MOH

Kementerian Kesihatan (MOH) tidak menerima sebarang aduan tentang kesan sampingan serius atau miokarditis akibat vaksinasi daripada kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun setakat Jumaat (7 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kesan sampingan serius dalam kalangan kanak-kanak divaksin sejauh ini: MOH

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 10 Jan 2022 06:26PM Dikemas Kini : 10 Jan 2022 09:21PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) tidak menerima sebarang aduan tentang kesan sampingan serius atau miokarditis akibat vaksinasi daripada kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun setakat Jumaat (7 Jan).

Demikian kongsi Menteri Negara Kanan Kesihatan, Dr Janil Puthucheary.

“Kebanyakan kesan sampingan yang dialami oleh kanak-kanak selepas vaksinasi adalah ringan seperti rasa kebas pada bahagian suntikan, lesu serta demam dan ia biasanya hilang dalam masa beberapa hari," tambahnya.

Beliau berkata demikian di Parlimen hari ini (10 Jan) sebagai respons kepada soalan daripada beberapa Anggota Parlimen (AP) tentang program vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak.

Singapura melancarkan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berumur antara lima dengan 11 tahun pada Disember tahun lalu. Setakat 7 Januari, sekitar 123,000 kanak-kanak sudahpun mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin ataupun mendaftar bagi slot janji temu vaksinasi, kata beliau.

Dr Puthucheary menambah semua pusat vaksinasi pediatrik yang ditetapkan mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan para kakitangannya sudahpun dilatih untuk menguruskan sebarang kecemasan yang timbul daripada tindak balas alahan, di tempat vaksinasi.

Beliau juga menarik perhatian data antarabangsa menunjukkan kes berlaku miokarditis dalam kalangan individu berumur antara 12 dengan 17 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah sekitar 45 daripada setiap 100,000 kes jangkitan.

Sebagai perbandingan, kes berlaku miokarditis dalam kalangan kanak-kanak yang sudah mendapatkan vaksin COVID-19 adalah kira-kira satu daripada sejuta dos yang diberikan.

“Jadi anda boleh lihat risikonya jauh lebih rendah dengan vaksinasi, maka, manfaatnya jauh lebih tinggi," tambah beliau.

KEPRIHATINAN TENTANG VAKSIN MRNA

Ketika mengajukan soalan tambahan, Ketua Pembangkan merangkap Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh menarik perhatian meskipun ramai ibu bapa sendiri mungkin sudah mengambil vaksin mRNA, segelintir daripada mereka prihatin tentang kemungkinan kesan jangka panjang suntikan tersebut ke atas kanak-kanak.

“Untuk perkara itu, adakah MOH akan membenarkan ibu bapa sedemikian menunggu sehingga vaksin berasaskan protein tradisional bukan mRNA diluluskan untuk anak-anak mereka divaksin untuk memberi mereka lebih banyak pilihan dan meredakan kebimbangan?” tanya beliau.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menjawab vaksin Pfizer-BioNTech/Cominarty sudahpun menjalani ujian klinikal meluas yang membuktikan ia selamat serta berkesan untuk kanak-kanak.

Beliau menambah ibu bapa "perlu mengimbangi perkara ini dengan aspek negatif mendapatkan suntikan". Beliau menekankan kadar kes berlakunya miokarditis dalam kalangan budak yang dijangkiti COVID-19 adalah lebih tinggi berbanding mereka yang menerima vaksin.

Encik Ong juga menarik perhatian berlaku kes Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem (MIS) yang berkait dengan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan