Skip to main content

Singapura

Tiada kesalahan jenayah dalam pertikaian relawan PSP dan PAP di Bukit Gombak pada Jan: Siasatan polis

Polis sudah menyelesaikan siasatan berhubung pertikaian antara relawan Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Bukit Gombak pada Januari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kesalahan jenayah dalam pertikaian relawan PSP dan PAP di Bukit Gombak pada Jan: Siasatan polis

Seorang relawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkongsi dua video yang memaparkan interaksi antara kumpulannya dengan individu yang mengenakan baju Parti Kemajuan Singapura (PSP). (Gambar: Facebook/Azman Ibrahim)

SINGAPURA: Polis sudah menyelesaikan siasatan berhubung pertikaian antara relawan Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Bukit Gombak pada Januari lalu.

Kedua-dua parti mendakwa bahawa relawan mereka diganggu atau diintimidasi semasa lawatan bertemu penduduk pada 4 Januari, sebelum Pilihan Raya Umum diadakan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (29 Ogos) malam menyatakan bahawa pihaknya memulakan siasatan selepas menerima satu laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Selepas siasatan selesai dan dengan pertimbangan teliti terhadap fakta dan keadaan, polis, dengan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), menilai bahawa tiada kesalahan jenayah didedahkan,” tambah polis.

“Polis sudah menasihati semua relawan supaya lebih berwaspada terhadap tingkah laku mereka di tempat awam, dan membawa diri dengan sewajarnya semasa menjalankan aktiviti mereka.”

PSP dalam satu catatan di Facebook pada petang Jumaat menyatakan bahawa polis sudah menemu bual empat orang ahli dan relawannya berikutan kejadian di Goodview Gardens pada 4 Januari.

“Ini termasuk tuduhan yang dibuat oleh pemegang jawatan PAP bahawa ahli dan relawan PSP menampar, mengasari, serta menghina relawan mereka, dan juga tuduhan relawan PSP kami bahawa beliau diganggu serta diintimidasi oleh relawan PAP,” tulis PSP.

Parti itu menambah: “Kami kecewa kerana baik SPF mahupun AGC tidak memilih untuk mengeluarkan laporan penuh mengenai hasil siasatan polis.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita