Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tiada kesalahan jenayah' bagi penganjur yang gesa perlindungan bagi keluarga, perkahwinan, usulan mansuh Seksyen 377A: MHA

Penganjur acara yang dihadiri 1,200 orang itu berkata sesi tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang 'kesan gerakan aktif LGBTQ+ memperjuangkan hak mereka' dan bukan untuk menyebarkan kebencian.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada kesalahan jenayah' bagi penganjur yang gesa perlindungan bagi keluarga, perkahwinan, usulan mansuh Seksyen 377A: MHA

Ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap para penganjur pertemuan awam "town hall" yang dihadiri 1,200 orang yang menggesa bagi "pakej politik baru" untuk melindungi perkahwinan, keluarga dan kanak-kanak sebelum Pemerintah menimbangkan untuk memansuhkan undang-undang yang menjadikan hubungan seks sesama jenis satu jenayah.

Polis menyatakan perjumpaan itu tidak melanggar sebarang undang-undang.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengesahkan pada Isnin (25 Jul) bahawa polis menerima laporan mengenai acara itu, yang dipanggil "Perjumpaan Melindungi Singapura".

"Semua orang, termasuk kumpulan agama, berhak atas pandangan mereka mengenai pelbagai isu, termasuk isu LGBT, dan bebas meluahkan pandangan mereka, selagi mereka tidak memburuk-burukkan sebarang kumpulan dan tidak melanggar sebarang undang-undang," menurut MHA.

"Kami tidak akan mengambil tindakan terhadap penganjur kerana tiada kesalahan jenayah dilakukan."

Selepas perjumpaan di Singapore Expo Sabtu lalu, dua kumpulan LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transjantina, 'queer') memberitahu Mediacorp mereka prihatin ia mungkin menggalak lebih banyak diskriminasi dalam masyarakat.

Bagaimanapun, salah seorang penganjur acara Encik Jason Wong, berkata tujuan perjumpaan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap "kesan gerakan aktif LGBTQ+ memperjuangkan hak mereka" dan bukan untuk menyebarkan kebencian.

Encik Wong ialah pengasas gerakan Bapa Sepanjang Hayat (DFL) dan Projek Reben Kuning bagi membantu bekas pesalah manakala seprang lagi penganjur, Encik Mohamed Khair, ialah ketua pegawai eksekutif syarikat latihan SuChi Success Initiatives.

Encik Wong memberitahu Mediacorp pada Selasa (26 Jul) bahawa para penganjur adalah "sekumpulan rakyat yang memerhatikan kegiatan LGBT di Singapura dan di peringkat global dan mendapati ia menjejas institusi perkahwinan dan keluarga sedia ada, memandangkan aktivis LGBT menggesa bagi definisi semula untuk menyertakan pasangan sama jenis atas dasar kesaksamaan".

Beliau menambah tujuan perjumpaan itu adalah bagi "membantu rakyat memahami kegiatan aktivis LGBT dan kesannyan dalam masyarakat", serta mendengar pengalaman rakyat biasa yang dipinggirkan selepas tidak bersetuju atau diberi tekanan untuk menutup mulut.

Sesi tersebut, yang disifatkan Encik Wong dalam Facebook beliau sebagai menerima sambutan hangat, adalah satu acara tertutup, yang perlu tiket untuk masuk serta tertakluk di bawah bawah undang-undang Rumah Chatham. Ini bermakna peserta bebas menggunakan maklumat dari perbincangan, tetapi tidak dibenarkan untuk mendedahkan siapa yang membuat komen.

Mediacorp difahamkan selain Encik Wong dan Encik Khair, terdapat dua lagi penceramah dalam sesi selama tiga jam itu selain penyertaan anggota LGBT dan bekas anggota yang berkongsi pengalaman peribadi mereka.

MHA menyatakan: "Penganjur acara bagi acara 'Protect Singapore Townhall' memohon bagi permit polis dan memaklumkan polis bahawa acara itu hanya atas dasar undangan, melibatkan anggota pertubuhan itu dan tetamu undangan.

"Polis menilai bahawa permit di bawah Akta Ketenteraman Awam tidak diperlukan memandangkan ia acara privet."
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan