Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada kes tipu lain selain daripada 11 peguam pelatih yang tipu dalam peperiksaan kelayakan: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kes tipu lain selain daripada 11 peguam pelatih yang tipu dalam peperiksaan kelayakan: Shanmugam

Tiada kes tipu lain selain daripada 11 peguam pelatih yang tipu dalam peperiksaan kelayakan menurut Menteri Undang-undang K Shanmugam semasa sidang parlimen pada 9 Mei. 

SINGAPURA: Selain daripada 11 peguam pelatih yang menipu dalam peperiksaan kelayakan pada 2020, Institut Singapura bagi Pendidikan Undang-Undang (SILE) tidak menemukan sebarang kes tipu yang lain, termasuk dalam pusingan-pusingan peperiksaan yang menyusuli kejadian tersebut, menurut Menteri Undang-undang K Shanmugam hari ini (9 Mei).

Bercakap semasa sidang parlimen, beliau akui bahawa "ada perbezaan antara sama ada ia sudah berlaku dan apa yang mereka (SILE) sudah dapati". 

Namun, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, menekankan lagi bahawa SILE "belum menemukan apa-apa yang lain" dari segi kes-kes penipuan.

Beliau maklum bahawa SILE menyatakan ia sudah pun melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menghalang penipuan dan memperkenalkan proktor dari jauh bagi peperiksaan online.

Bagi pelatih-pelatih yang didapati menipu, mereka diperlukan untuk menduduki semula kursus persediaan dan/atau peperiksaan kelayakan pada tahun depan, dan mahkamah sudahpun menangguhkan perbicaraan mereka. 

Permohonan bagi kemasukan mereka akan mula dipertimbangkan selepas penangguhan itu berakhir. 

"Untuk diterima masuk, mereka perlu meyakinkan semua pihak berkepentingan yang terlibat bahawa mereka layak dan sesuai untuk mengamalkan undang-undang sebelum mereka dibenarkan untuk berbuat demikian," kata Encik Shanmugam. 

TAHAP KEJUJURAN PALING TINGGI 

Situasi ini perlu dibincangkan dengan teliti sedang permohonan para peguam yang menipu itu masih belum selesai di mahkamah, katanya lagi.

Beliau menambah bahawa para peguam sebagai fidusiari dijangka berkelakuan demi kepentingan baik pelanggan-pelanggan mereka dan pada masa yang sama mereka "ada tanggungjawab yang besar" kepada mahkamah. 

Penipuan menurut beliau adalah satu "kekurangan serius daripada prinsip asas kejujuran", dan sebarang kelakuan yang tidak jujur "agak tidak dapat diterima".  

PELUANG KEDUA

Anggota Parlimen Marine Parade, Seah Kian Peng bertanyakan tentang peluang kedua buat peguam pelatih yang menipu itu, memandangkan nama mereka sudahpun didedahkan.

Encik Shanmugam berkata bahawa pendekatan itu perlu mengambil kira apakah kesalahan itu dan siapa yang melakukannya.

Dalam kes ini, kesalahan menipu itu serius dan memandangkan peguam-peguam pelatih itu melakukannya, ia menjadi "dua kali ganda lebih serius". 

Beliau menambah: "Ini adalah anak-anak muda. Adakah ia bermakna mereka dikecualikan sampai bila-bila daripada berkhidmat? Saya rasa ramai orang akan berkata ini kelihatan sangat berat.

"Jadi apakah hukuman yang sesuai, mengambil kira tahap seriusnya kesalahan ini dan juga usia mereka? Adakah mereka patut dihalang sampai bila-bila daripada menjadi peguam, diterima masuk ke Badan Peguam? Saya rasa ramai orang akan rasa ini terlalu berat.

"Adakah mereka patut menghadapi sekatan besar untuk menekankan keseriusan kelakuan mereka? Saya rasa ramai akan setuju dengan ini. Dalam rangka kerja itu, saya rasa kita perlu tunggu dan melihat bagaimana mahkamah memutuskannya."

AP Marsiling-Yew Tee, Hany Soh  turut bertanya sama ada peguam-peguam yang menipu ini boleh "dipanggil bergantung kepada keadaan" untuk diterima masuk ke Badan Peguam di bawah pemantauan peguam lain.

"Sama ada mereka memerlukan pemantauan ketat, saya rasa pada usia 23 atau 25, saya tidak rasa anda perlu pemantauan ketat untuk tahu bahawa anda tidak seharusnya menipu semasa peperiksaan," kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa terdapat "beberapa merit" mengenai perlunya peguam-peguam yang menipu itu melakukan beberapa kerja khidmat masyarakat tetapi ini akan ditentukan mahkamah, bukan pemerintah. 

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan