Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada 'kemajuan ketara' pada pelaksanaan Konsensus 5 Perkara ASEAN mengenai Myanmar, kata PM Lee

PM Hun Sen turut memberikan taklimat kepada PM Lee berhubung keutamaan dan agenda Kemboja sebagai pengerusi ASEAN tahun ni, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan medianya pada Sabtu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada 'kemajuan ketara' pada pelaksanaan Konsensus 5 Perkara ASEAN mengenai Myanmar, kata PM Lee

Gambar-gambar fail PM Lee Hsien Loong (kiri) dan PM Kemboja Hun Sen. (Gambar-gambar: MCI dan AFP/Tang Chhin Sothy)

SINGAPURA: Belum ada "sebarang kemajuan ketara" pada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke atas Myanmar sejak ia dipersetujui tahun lalu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam panggilan sidang video dengan Perdana Menteri Kemboja pada Jumaat (14 Jan).

Semasa sidang video tersebut, PM Hun Sen turut memberikan taklimat kepada PM Lee berhubung keutamaan dan agenda Kemboja sebagai pengerusi ASEAN tahun ni, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan medianya pada Sabtu.

PM Hun Sen mengadakan lawatan ke Myanmar awal bulan ini untuk berbincang dengan panglima tentera negara itu - yang pertama oleh seorang pemimpin negara ke Myanmar sejak tenteranya merampas kuasa pemerintah yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi pada 1 Feb tahun lalu.

Rampasan kuasa itu mencetuskan tunjuk-tunjuk perasaan selama berbulan-bulan lamanya.

Konsensus Lima Perkara ASEAN dipersetujui pada 24 Apr tahun lalu di persidangan Sekretariat ASEAN, di Jakarta, antara para pemimpin ASEAN dengan Jeneral Kanan Myanmar Min Aung Hlaing.

Apa itu Konsensus Lima Perkara?

Semasa persidangan pada bulan April tahun lalu, para pemimpin ASEAN mencapai kata sepakat tentang keadaan di Myanmar.

Lima perkara itu adalah:

Pertama, keganasan di Myanmar harus dihentikan serta-merta dan semua pihak harus mengawal diri sebaik mungkin.

Kedua, dialog membina dalam kalangan semua pihak yang terlibat harus dimulakan bagi mencari jalan keluar secara damai demi kepentingan rakyat Myanmar.

Ketiga, utusan khas pengerusi ASEAN harus menjadi orang tengah bagi memudahkan proses dialog, dengan bantuan setiausaha agung ASEAN.

Keempat, ASEAN harus menyediakan bantuan kemanusiaan menerusi Pusat AHA.

Kelima, utusan khas dan rombongannya harus mengadakan lawatan ke Myanmar bagi bertemu dengan semua pihak yang terlibat.

"PM Lee menyuarakan pandangannya bahawa sehingga terdapat kemajuan yang ketara dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara, ASEAN harus mengekalkan keputusannya yang dipersetujui di Sidang Puncak ASEAN ke-38 dan ke-39 bagi mengundang seorang wakil bukan politik dari Myanmar ke mesyuarat-mesyuarat ASEAN," jelas MFA.

"Sebarang perbincangan bagi menilai keputusan Pemimpin-Pemimpin ASEAN harus berlandaskan fakta-fakta baru. PM Lee menekankan betapa pentingnya untuk Pengerusi ASEAN mendampingi semua pihak yang terlibat, termasuk Tatmadaw dan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD)," menurut kementerian itu.

"Tatmadaw mengusulkan gencatan senjata hanya dengan Pertubuhan-Pertubuhan Bersenjata Etnik tetapi seruan untuk menghentikan keganasan dalam Konsensus Lima Perkara juga, dan terutama sekali, terhadap keganasan ke atas penentang politik Tatmadaw dan rakyat jelata."

Selang beberapa hari selepas lawatan Encik Hun Sen, berlaku beberapa serangan oleh Tatmadaw terhadap penentang politiknya dan hukuman penjara tambahan dikenakan ke atas Cik Aung San Suu Kyi, kata PM Lee.

Menurut MFA, PM Kemboja juga sudah mengusulkan saranan-saranan tentang bagaimana untuk menyelaraskan gencatan senjata di Myanmar dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu.

PM Lee berkata beliau kurang pasti apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ASEAN atau utusan khas pengerusi ASEAN ke Myanmar dalam menyelaraskan gencatan senjata memandangkan "kita tidak mempunyai akses kepada semua pihak", menurut MFA.

"Bagaimanapun, Singapura tidak mempunyai bantahan secara prinsip terhadap mekanisme sedemikian jika ia dapat membantu menghentikan keganasan," jelas MFA.

PM Lee berkata kiriman bantuan kemanusiaan harus memperlihatkan kemajuan, dengan pelibatan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan berhubung pengurusan bencana dan dengan kerjasama Tatmadaw.

Beliau bersetuju bahawa usulan-usulan yang dibangkitkan Kemboja harus dibincangkan dengan lebih lanjut dalam kalangan menteri luar dan para pegawai kanan ASEAN.

"PM Lee berharap Kemboja akan mempertimbangkan pandangan-pandangan ini dan juga daripada para pemimpin ASEAN yang lain," menurut MFA.

"Beliau menegaskan lagi komitmen Singapura untuk bekerjasama dengan Kemboja dan Negara-Negara Anggota ASEAN bagi melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara ASEAN dan keputusan-keputusan relevan ASEAN.

PM Lee juga mengesahkan lagi sokongan Singapura kepada Kemboja sebagai pengerusi ASEAN dan mengucapkan terima kasih kepada PM Hun Sen atas taklimat itu.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan