Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada kanak-kanak di S'pura yang pernah hidap COVID-19 alami sakit teruk: Kajian

Kajian yang dijalankan NUH dan KKH ke atas 259 kanak-kanak dan remaja yang pernah menghidap COVID-19 mendapati hampir separuh tidak menunjukkan sebarang gejala dan selebihnya mempunyai gejala yang "umumnya sangat ringan".

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kanak-kanak di S'pura yang pernah hidap COVID-19 alami sakit teruk: Kajian

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 06 Aug 2021 11:54PM Dikemas Kini : 06 Aug 2021 11:59PM

SINGAPURA: Kajian yang dijalankan Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) ke atas 259 kanak-kanak dan remaja yang pernah menghidap COVID-19 mendapati hampir separuh tidak menunjukkan sebarang gejala dan selebihnya mempunyai gejala yang "umumnya sangat ringan".

Profesor Madya Kenneth Mak, pengarah khidmat perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH), berkata: “Tidak seorang pun kanak-kanak itu mengalami sesak nafas, atau memerlukan bantuan oksigen, dan tiada yang memerlukan rawatan di unit jagaan rapi (ICU). "

Beliau menambah pada masa ini, ada 89 kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang dijangkiti koronavirus dan sedang dirawat di hospital. 35 lagi kanak-kanak dijaga di kemudahan jagaan masyarakat.

Prof Madya Mak berkata demikian pada Jumaat (6 Ogos) dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19.

Setakat Jumaat, lapan pesakit COVID-19 berada dalam keadaan kritikal di ICU.

TIADA GEJALA BERPANJANGAN

Kajian ke atas kanak-kanak yang menghidap COVID-19 itu dijalankan sejak Mac tahun lalu.

NUH mengkaji kumpulan pertama 117 kes COVID-19, sementara KKH mengkaji 142 kes dalam tempoh yang sama, melibatkan kanak-kanak berusia antara dua bulan dengan 18 tahun.

Di NUH, satu daripada setiap lima daripada mereka mempunyai "keadaan perubatan yang berkaitan" dan "ramai daripada mereka terdedah kepada kes jangkitan dalam isi rumah yang sama", kata Prof Madya Mak.

Dalam pemeriksaan susulan, tidak seorang pun kanak-kanak itu didapati mengalami gejala berkaitan COVID-19 yang berpanjangan setelah sembuh - atau "sama dengan sindrom COVID yang dilaporkan di peringkat antarabangsa", tambahnya.

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa jumlah kanak-kanak yang mengalami simptom COVID-19 berpanjangan adalah lebih rendah berbanding golongan dewasa.

Namun, Prof Madya mengingatkan bahawa di negara-negara lain, ada kanak-kanak yang "kurang bernasib baik" atau memerlukan rawatan di ICU.

Malah ada juga yang meninggal dunia akibat virus itu.

PESAKIT DI ICU

Memberikan lebih banyak maklumat mengenai lapan pesakit yang kini berada di ICU, Prof Madya Mak berkata mereka berusia antara 38 dengan 90 tahun.

Dua daripada mereka sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya, sementara lagi enam belum divaksinasi langsung atau belum memperoleh perlindungan imun yang cukup kerana baru menerima satu dos vaksin.

"Setiap kes mempunyai beberapa keadaan perubatan sedai ada yang membuat mereka lebih berisiko terkena jangkitan teruk," tambahnya.

Ini termasuk keadaan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit ginjal, penyakit jantung, dan sepsis yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

MENGENAI PESAKIT ICU YANG SUDAH DIVAKSIN

Menjawab pertanyaan tentang keprihatinan bahawa mereka yang sudah diberi vaksinasi sepenuhnya masih memerlukan rawatan rapi setelah terkena jangkitan, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menjawab:

"Jika, katakanlah, 100 peratus penduduk Singapura sudah divaksinasi sepenuhnya, maka siapa pun yang berada di ICU, siapa pun yang sakit teruk merupakan mereka yang sudah lengkap divaksinasi ... itu tidak bermakna bahawa vaksinasi tidak berkesan?"

Encik Ong menambah bahawa apabila lebih banyak orang diberi suntikan vaksin, akan ada beberapa orang yang divaksinasi sepenuhnya yang masih akan jatuh sakit.

"Namun pada peringkat ini, apabila kita dapat membandingkan antara mereka yang divaksinasi dan tidak divaksinasi, bukti terus menunjukkan bahawa jika anda divaksinasi, kemungkinan anda sakit teruk adalah hingga 10 kali lebih rendah daripada (seseorang) yang tidak divaksinasi."

Prof Madya Mak berkata bahawa Singapura mempunyai lebih 800 katil pengasingan dan wad umum, yang diperuntukkan untuk menjaga pesakit COVID-19, dan terdapat lebih 100 katil di ICU disediakan untuk merawat pesakit yang sakit teruk.

"Pada masa ini, ada cukup ruang di hospital untuk merawat orang dewasa dan (kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19)," tambahnya. "Namun kami bersedia untuk mengerahkan dan menyediakan lebih banyak katil pengasingan ICU, jika perlu."

JANGKITAN DI KEMUDAHAN JAGAAN KESIHATAN

Prof Madya Mak juga memberi perkembangan kes atau kelompok jangkitan COVID-19 yang dikesan di kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan.

Sejak dua minggu lalu, terdapat pekerja jagaan kesihatan dan pesakit di kemudahan berkenaan yang terkena jangkitan.

Antara 28 Julai hingga 3 Ogos, terdapat 16 pesakit dan kakitangan yang terkena jangkitan di hospital dan hospital masyarakat.

Jangkitan dalam kalangan pekerja dikesan melalui ujian rutin dan berkala di semua institusi penjagaan kesihatan, atau ketika pekerja perubatan mengalami gejala dan datang ke klinik.

Beliau berkata pekerja yang dijangkiti telah memakai alat perlindungan diri yang sesuai dengan tempat mereka bekerja.

"Pada saat ini, tiada bukti bahawa penyebaran telah berlaku dari pekerja jagaan kesihatan kepada pesakit mereka."

KESAN PADA KAPASITI KATIL

Bagi pesakit di hospital, 11 didapati menghidap COVID-19 di dalam wad, meskipun menunjukkan hasil negatif bagi ujian COVID-19 ketika mereka pertama kali berdaftar masuk.

"Sebilangan pesakit ini mungkin memeram (virus) ketika pertama kali datang (ke hospital), tetapi kita tidak dapat menolak kemungkinan beberapa pesakit ini terdedah kepada jangkitan dari pesakit lain atau dari pelawat," katanya.

Apabila seorang anggota kakitangan atau pesakit disahkan COVID-19, pihak berkuasa akan bekerjasama dengan hospital untuk melakukan pengesanan kontak bagi menentukan siapa yang mungkin terdedah dan berisiko dijangkiti, dan wad akan ditutup selama dua minggu untuk mengurangkan risiko lebih banyak jangkitan.

"Ini memberi kesan yang besar pada kapasiti katil kami dan sumber daya yang telah kami curahkan untuk memerangi kes COVID-19," jelas Prof Madya Mak.

Inilah sebabnya mengapa MOH baru-baru ini melarang semua hospital daripada menerima pelawat selama dua minggu, untuk mengurangkan dan menguruskan risiko penularan penyakit.

"Kami berharap bahawa dalam jangka waktu ini ... membolehkan kami untuk juga memperkukuh struktur dan rangka gujian kami, dan apabila kami membuka semula pintu kepada pelawat, membolehkan kami untuk menguruskan penyakit dengan lebih baik," tambahnya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan