Tiada kambing diterbangkan ke S'pura bagi ibadah korban tahun ini
Keadaan tidak menentu bagi tempoh dua bulan mendatang ini menyulitkan proses untuk mengimport kambing-kambing ke Singapura dan juga untuk ibadah korban dijalankan di sini.
SINGAPURA: Tiada kambing akan diterbangkan ke Singapura bagi ibadah korban tahun ini.
Ini memandangkan keadaan kian berubah-ubah disebabkan oleh wabak COVID-19.
Sekalipun demikian, masjid-masjid setempat akan menawarkan khidmat korban, yang dijalankan di Australia.
Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (8 Jun).
Menurut MUIS, keadaan tidak menentu bagi tempoh dua bulan mendatang ini menyulitkan proses untuk mengimport kambing-kambing ke Singapura dan juga untuk ibadah korban dijalankan di sini.
Ini lebih-lebih lagi kerana proses ibadah korban perlu dilaksanakan dengan begitu teliti dan perlu dirancang lebih awal.
Bagi umat Islam setempat yang ingin melaksanakan ibadah korban, masjid-masjid menawarkan khidmat itu yang akan dijalankan di Australia.
Dagingnya kemudian akan dibekukan dan diterbangkan ke Singapura untuk diberikan kepada mereka. Seperti kebiasaannya, masjid-masjid akan mengagihkan sebahagian daging tersebut kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah di sini.
Pihak masjid akan melantik dan bekerjasama dengan para pembekal yang diwajibkan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat mengimport daging seperti yang sudah ditetapkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA).
Aturan ini akan membolehkan masyarakat Islam setempat untuk terus melaksanakan ibadah penting ini, yang menjadi teras Aidiladha, menurut kenyataan media MUIS itu lagi.
Mengulas tentang ibadah korban yang berbeza kali ini, Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris berkata "apa yang penting dalam amalan korban (Udhiyyah) adalah terasnya" - iaitu umat Islam menjalankan ibadah korban sebagai lambang bagi mematuhi perintah Allah dan berkorban hanya untukNya.
"Melindungi masyarakat daripada bahaya, dalam konteks sekarang ini, adalah satu tanggungjawab dan pengorbanan yang besar yang boleh dilakukan oleh umat Islam," kata Ustaz Mohd Murat.
Masyarakat Islam Singapura sudahpun keluar daripada kepompong selesa dengan membuat pelbagai penyesuaian dan pengorbanan dari aspek tradisi amalan-amalan agama sepanjang Ramadan, Syawal malah dalam bulan Zulhijjah juga.
Tahun ini, Singapura memilih untuk menangguhkan ibadah haji - iaitu tiang agama yang kelima.
"Maka ini sejajar dengan semangat Korban itu sendiri, bahawa amalan yang berbeza kali ini berlaku dalam bulan ibadah korban pada tahun ini, tanpa mengorbankan terasnya," tambah Ustaz Mohd Murat.
Sektor masjid akan terus mengambil langkah-langkah yang diperlukan agar ibadah itu dapat dijalankan dengan selamat dan begitu juga bagi proses agihannya selepas tempoh Tasyrik.
Perincian mengenai pendaftaran ibadah korban akan dikeluarkan pada hujung bulan ini.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.