Skip to main content

Singapura

Tiada kaitan antara penggunaan paracetamol semasa hamil dan autisme: HSA

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (26 Sep) menyatakan “tiada bukti saintifik kukuh” yang mengaitkan penggunaan paracetamol semasa hamil dengan autisme dalam kalangan kanak-kanak, biarpun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat dakwaan sedemikian baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kaitan antara penggunaan paracetamol semasa hamil dan autisme: HSA

Tablet ubat paracetamol. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 26 Sep 2025 11:18PM
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (26 Sep) menyatakan “tiada bukti saintifik kukuh” yang mengaitkan penggunaan paracetamol semasa hamil dengan autisme dalam kalangan kanak-kanak, biarpun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat dakwaan sedemikian baru-baru ini.

Dalam sidang media di Rumah Putih pada Isnin, Encik Trump menasihatkan wanita hamil supaya tidak menggunakan ubat tahan sakit Tylenol, yang mengandungi acetaminophen atau paracetamol sebagai bahan utama.

Kumpulan-kumpulan perubatan, dengan merujuk kepada banyak kajian, menyatakan paracetamol memainkan peranan yang selamat untuk kesejahteraan wanita hamil.

Pada Jumaat, HSA, iaitu pihak pengawal selia produk kesihatan di Singapura, menyokong saranan tersebut.

“Paracetamol digunakan di seluruh dunia selama beberapa dekad untuk merawat sakit dan demam, termasuk dalam kalangan wanita hamil,” menurut HSA. “Ia kekal sebagai rawatan yang disarankan bagi sakit atau demam dalam kalangan wanita hamil apabila digunakan seperti yang diarahkan.”

“Tiada bukti saintifik yang konklusif bahawa pengambilan paracetamol semasa hamil menyebabkan autisme pada kanak-kanak.”

Pihak berkuasa kesihatan itu menyatakan walaupun sesetengah kajian menggambarkan kaitan antara paracetamol dengan keadaan neurologi seperti autisme, “hubungan sebab dan akibat belum dapat dibuktikan”.

Banyak kajian lain juga tidak menemui sebarang kaitan sedemikian, tambahnya.

HSA menyatakan bahawa ia mempunyai program pemantauan pasaran untuk memantau keselamatan ubat-ubatan yang digunakan di Singapura.

Setakat ini, pihaknya tidak mengesan sebarang kebimbangan keselamatan berhubung penggunaan paracetamol semasa hamil yang boleh menyebabkan autisme atau masalah neurologi lain pada kanak-kanak.

Dalam ucapannya pada Isnin, Encik Trump berkata wanita hamil harus “tahan sahaja” dan hanya demam yang “amat tinggi” yang mewajarkan pengambilan ubat yang dijual di kaunter tersebut.

Namun HSA menyatakan paracetamol boleh digunakan untuk mengurangkan sakit atau demam semasa hamil jika ia diperlukan secara klinikal. “Demam atau sakit yang tidak dirawat semasa hamil boleh mendatangkan risiko kepada bayi dalam kandungan,” menurut pihak berkuasa itu.

Paracetamol harus digunakan mengikut arahan pada label atau seperti yang ditetapkan oleh karyawan penjagaan kesihatan, tambahnya. “Secara amnya, ia perlu diambil pada dos paling rendah yang berkesan untuk tempoh sesingkat mungkin.”

HSA akan terus memantau bukti saintifik berkaitan, isyarat keselamatan dan perkembangan antarabangsa mengenai penggunaan paracetamol.

Para karyawan jagaan kesihatan dan orang awam akan dimaklumkan sekiranya terdapat risiko keselamatan ketara yang dikesan berhubung ubat-ubatan, tambahnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita