Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada jangkitan cacar monyet dikesan di S'pura sejak kes import pada 2019: MOH

Anggaran Waktu Membaca:
 Tiada jangkitan cacar monyet dikesan di S'pura sejak kes import pada 2019: MOH

Gambar fail seorang pesakit cacar monyet. (Gambar: Perpustakaan Imej Kesihatan Awam CDC)

SINGAPURA: Tiada jangkitan cacar monyet dikesan di Singapura sejak 2019, iaitu tahun sewaktu satu-satunya kes import disahkan dijangkiti seorang lelaki Nigeria.

"Setakat 20 Mei 2022, tiada jangkitan cacar monyet dikesan di Singapura sejak Mei 2019, sewaktu satu kes import dari Nigeria dikesan dan dibendung," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (21 Mei).

"Memandangkan kes-kes di Eropah dan Amerika Utara, Kementerian Kesihatan sudah memaklumkan kepada semua pengamal perubatan agar kekal berwaspada dalam mengesan dan melaporkan kes-kes cacar monyet. Kami akan terus memantau rapi keadaan itu."

Cacar monyet adalah sejenis penyakit yang jarang berlaku dan ia berpunca daripada virus yang biasanya berjangkit daripada haiwan kepada manusia. Penularan daripada manusia ke manusia, meskipun boleh berlaku, adalah terbatas, menurut MOH.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 80 kes cacar monyet disahkan dan lagi 50 sedang disiasat di 11 negara setakat 20 Mei.

Ini termasuk Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol, Britain, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Mereka yang dijangkiti lazimnya mengalami demam, sakit kepala, sengal otot, sakit belakang, bengkak nodus limfa dan ruam kulit yang muncul dalam tempoh satu hingga lima hari selepas gejala pertama. Ruam yang dialami mungkin menyerupai kesan melecet disebabkan sakit campak.

Seseorang biasanya boleh menjangkiti orang lain semasa dia sedang mengalami gejala-gejala jangkitan, khususnya ruam pada kulit.

Ia biasanya menular menerusi kontak rapat dengan cecair saluran pernafasan atau luka pada kulit orang yang dijangkiti atau menerusi objek-objek yang tercemar disebabkan cecair atau luka orang yang dijangkiti.

Gejala-gejala biasanya hilang antara dua dengan empat minggu dan penyakit itu lazimnya "mereda sendiri", menurut MOH. Bagaimanapun, penyakit teruk dan kematian boleh berlaku dalam kalangan segelintir individu.

MOH menasihatkan para pelancong agar mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengekalkan standard tinggi kebersihan peribadi, mengelak daripada berada dekat dengan kesan luka seseorang yang dijangkiti atau sudah meninggal dunia atau haiwan serta mengelakkan daripada mendekati haiwan liar dan memakan daging spesies hidupan liar.

"Para pelancong yang kembali, lebih-lebih lagi dari kawasan yang terjejas dengan cacar monyet, perlu segera berjumpa doktor jika mereka mengalami sebarang gejala penyakit dalam tempoh tiga minggu selepas pulang. Mereka juga harus memaklumkan kepada doktor tentang sejarah perjalanan," menurut MOH.

Sumber : CNA/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan