Skip to main content

Singapura

Tiada isyarat telefon bimbit di Tengah? Ini antara sebabnya...

Seorang pemilik rumah ingin mengunjungi flat baharunya di bandar Tengah lalu memutuskan untuk mengayuh basikal yang disewa ke sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada isyarat telefon bimbit di Tengah? Ini antara sebabnya...

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 13 Feb 2024 10:19AM
SINGAPURA: Seorang pemilik rumah ingin mengunjungi flat baharunya di bandar Tengah lalu memutuskan untuk mengayuh basikal yang disewa ke sana.

Namun apabila Encik Sia tiba di bloknya, beliau mendapati bahawa beliau tidak dapat log masuk ke aplikasi perkongsian basikal untuk mengunci basikalnya.

Ini kerana telefon bimbitnya tidak menerima isyarat.

Pengurus IT itu yang enggan mendedahkan nama penuhnya, menerima kunci ke rumah flat baharunya pada November lalu.

Beliau akan mengunjungi flat baharunya sekali-sekala sedang beliau memuktamadkan pelan ubah elok.

"Isyaratnya sangat lemah. Saya tidak menerima sebarang isyarat StarHub atau M1 di rumah saya, di kolong blok, di koridor, di tempat letak kereta, di ruang-ruang terbuka," kata Encik Sia yang berusia 38 tahun.

Pemilik rumah lain di kawasan itu juga berkongsi pengalaman serupa, dengan tingkat pertama tempat letak kereta seringkali dikatakan sebagai tempat dengan isyarat yang paling lemah.

Para penduduk berkata mereka hanya mempunyai isyarat telefon bimbit sebaik sahaja berada di jalan raya utama.

Satu rencana TODAY yang diterbitkan pada awal bulan ini juga menyatakan bahawa sesetengah penduduk juga berasa hampa dengan isyarat jalur lebar yang lemah di kawasan itu.

Beberapa penduduk bandar Tengah seluas 700 hektar itu mula mengambil kunci ke rumah masing-masing pada Ogos tahun lalu.

Setakat hujung Januari lalu, dua projek Bina Ikut Tempah (BTO) - Plantation Acres dan Plantation Grange - selesai dibina. Projek yang ketiga, Plantation Village masih dalam pembinaan namun blok-blok perumahannya sudah selesai dibina.

Daripada sekitar 30,000 unit perumahan awam yang dijangka dilancarkan di Tengah, 2,908 isi rumah sudah mengambil kunci masing-masing dan mula berpindah masuk, setakat 18 Januari lalu.

Sebahagian besar Tengah masih dalam pembinaan, termasuk lagi 20 projek BTO, sebuah pusat pertukaran bas di Tengah Boulevard dan stesen MRT Tengah.

Sebuah pusat kejiranan dijangka dibuka secara bertahap-tahap mulai suku kedua tahun ini.

Namun para pemilik rumah merungut mengenai pelbagai isu daripada isu akses terhad sehingga kekurangan kedai di kawasan itu.

Sebagai respons, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meletakkan beberapa mesin layan diri yang menjual makanan dan minuman di sekitar estet itu, selain mengerahkan sebuah khidmat lori bergerak menjual barangan dapur dan memperluaskan khidmat bas bagi para penduduk.

HDB menyatakan dalam kertas fakta pada bulan lalu bahawa kemudahan pengangkutan utama dan kemudahan lain memerlukan masa untuk diperkukuhkan di sebuah bandar baharu, tidak seperti rumah-rumah BTO lain yang dibina di bandar sedia ada yang mempunyai prasarana yang sudah siap dibina.

HDB akan menambah jumlah flat sebanyak enam kali ganda sepanjang empat tahun akan datang, dengan lagi 19,100 unit dilancarkan kepada para pembeli flat di Tengah.

SEBAB ISYARAT TELEFON BIMBIT LEMAH

Ketersambungan mudah alih yang lemah mungkin disebabkan oleh kekurangan prasarana yang wajar, jarak antara menara pangkalan sel sedia ada atau kesesakan disebabkan oleh kenaikan mendadak jumlah pengguna, kata para pakar.

Profesor Biplab Sikdar dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata sebab utama adalah prasarana bagi rangkaian telefon bimbit belum lagi dikerahkan sepenuhnya.

"Bagi memastikan terdapat ketersambungan yang mencukupi - iaitu ketersambungan dengan isyarat yang kukuh - pusat-pusat pangkalan perlu ditempatkan di kawasan yang sesuai.

"Dengan kerja-kerja pembinaan dan pembangunan masih berlangsung, syarikat-syarikat telekomunikasi belum lagi mendapat akses ke tapak-tapak yang dirancang untuk memasang peralatan mereka," kata Profesor Biplab dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Komputer.

Antena stesen pangkalan juga lazimnya diletakkan di atas bangunan, dan di Tengah misalnya, ini mungkin di bumbung blok-blok perumahan.

Profesor Madya A S Madhukumar dari Universiti Teknologi Nanyang berkata lokasi bagi stesen-stesen pangkalan itu harus dirancang dengan betul bagi memastikan terdapat ketersambungan menyeluruh dan kurang gangguan, antara lain.

Di sebuah bandar yang masih dalam pembangunan, syarikat-syarikat telko mungkin tidak dapat memasang stesen-stesen pangkalan masing-masing jika bangunan itu belum siap dibina atau jika kabel-kabel belum disusun dengan betul, kata Profesor Sikdar.

Apabila ditanya mengapa prasarana sedia ada di estet-estet kejiranan seperti Bukit Batok tidak mencukupi, para pakar menarik perhatian kepada isu-isu teknikal.

"Peralatan di estet-estet kejiranan mungkin tidak mempunyai keupayaan mencukupi bagi menyokong aliran rangkaian tambahan yang dijana dari Tengah, kata Profesor Sikdar.

"Stesen-stesen pangkalan itu juga mempunyai had pada kuasa pengalirannya. Menambah kuasa pengaliran melebihi hadnya bagi meningkatkan ketersambungan adalah sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Selain itu, meningkatkan kuasa pengaliran juga boleh mencetuskan isu gangguan dengan tempat-tempat lain."

Profesor Madya Madhukumar dari Sekolah Komputer Sains dan Kejuruteraan NTU pula berkata kuasa isyarat dan ketersambungan dari estet-estet berdekatan akan menjadi lemah disebabkan jaraknya dengan Tengah, sekaligus menyebabkan ia menjadi lemah selain menjejas kebolehbergantungan khidmat.

Selain itu, permukaan bumi dan hadangan fizikal antara Tengah dengan bandar-bandar sedia ada juga boleh menghalang aliran isyarat, katanya.

JAWAPAN SYARIKAT TELKO

Beberapa syarikat telekomunikasi yang dihubungi Mediacorp menyatakan stesen-stesen pangkalan perlu dibina untuk meningkatkan ketersambungan mudah alih di Tengah.

Akses ke bumbung di mana stesen-stesen pangkalan berada, pula tertakluk kepada kelulusan HDB.

Seorang jurucakap Singtel berkata: "Kami memahami peranan penting yang dimainkan oleh ketersambungan mudah alih dan bersedia untuk memasang prasarana yang wajar bagi menyokong para penduduk Tengah.

"Namun ia tertakluk kepada kelulusan HDB di mana kami telah berunding untuk mendapatkan permit supaya kami dapat menawarkan khidmat kepada pelanggan di sana."

Sementara itu, StarHub menyatakan ia sedang menyelaraskan jadual dengan HDB untuk memasang stesen pangkalan di Tengah, seiring dengan tempoh estet-estet perumahan itu siap dibina.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita