Tiada ilusi mengenai perpaduan agama di S'pura: PM Lee tegaskan peri penting lindungi hubungan silang agama
Keharmonian agama perlu terus dipelihara dan dilindungi di Singapura. Ini kerana trend-trend yang dapat dilihat sekarang ini lebih menjurus kepada sikap tidak bertolak ansur dan condong kepada fahaman pelampau dan persengketaan melibatkan agama.

Pameran ulang tahun ke-70 IRO menyusur usaha pertubuhan itu sepanjang beberapa tahun lalu untuk mempromosikan keharmonian silang agama.
SINGAPURA: Keharmonian agama perlu terus dipelihara dan dilindungi di Singapura.
Ini kerana trend-trend yang dapat dilihat sekarang ini lebih menjurus kepada sikap tidak bertolak ansur dan condong kepada fahaman pelampau dan persengketaan melibatkan agama.
Ini ditegaskan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (26 Ogos).
Berucap di jamuan malam sempena ulang tahun ke-70 Pertubuhan Silang Agama (IRO) pada Isnin (26 Ogos), Encik Lee berkata Singapura juga pernah mengalami persengketaan agama pada masa lalu tetapi berjaya meraih "kemajuan sangat ketara" untuk membina kepercayaan dan keyakinan sejak beberapa dekad yang lalu selepas mencapai kemerdekaan.

Sungguhpun begitu, beliau menegaskan, ini tidak bermakna negara ini akan membiarkan begitu saja perbincangan "tidak terkawal dan tidak terurus" berhubung soal agama, atau lebih teruk lagi, watak kartun, persembahan mahupun video yang provokatif atau bersifat menghina. Beliau menambah Singapura akan menegakkan pendirian itu "buat tempoh yang sangat panjang".
PM Lee turut menarik perhatian kepada perkembangan di rantau ini untuk menekankan lagi isu tersebut sambil berkata trend sedia ada menjurus ke aras sikap tiada toleransi, ektremisme dan perselisihan faham agama.
Beliau memberi contoh bagaimana Sri Lanka dengan ramai penganut Buddha, Hindu dan umat Islam yang sejak sekian lama menjalin hubungan yang aman dan damai boleh digegarkan dengan ketegangan etnik dan agama dan dibelenggu pula dengan konflik dan keganasan sejak mencapai kemerdekaan pada 1949.
PM Lee berkata: "Kita tidak pernah meragui keretakan pada perpaduan agama boleh berlaku dalam masyarakat kita dan padah yang akan menimpa kita jika kita mengabaikan cara-cara untuk melindunginya."
Inilah sebabnya, kata PM Lee, mengapa Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum diluluskan pada 1990 untuk menetapkan garis panduan bagi kesemua kumpulan agama.
Sekalipun demikian, keadaan sudah berubah sekarang sejak penguatkuasaan undang-undang itu. Kepesatan media sosial, misalnya, menjadikannya lebih mudah untuk orang ramai menyebarkan kebencian dan kepalsuan yang boleh menyinggung perasaan, ujar PM Lee.
Lantaran itu, beliau berkata, pindaan ke atas undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen minggu depan untuk membolehkan pihak berkuasa menangani ancaman baru "secara menyeluruh dan tepat pada masanya" sambil menambah bahawa pemimpin agama sudahpun dirunding secara meluas dan Pemerintah "sangat berterima kasih" atas sokongan mereka.
Selain undang-undang, Encik Lee juga menggesa para pemimpin supaya "berfikiran luas dan berpandangan jauh" selain menjadi peran contoh kepada masyarakat untuk menyebarkan mesej toleransi serta sikap saling memahami.
Para pemimpin lebih muda IRO misalnya, ujar PM Lee lagi, sudahpun melakukan demikian apabila mereka mendampingi kumpulan-kumpulan bukan agama serta rangkaian yang turut giat mempromosikan dialog silang agama. Mereka juga menangani persoalan yang sukar mengenai peranan dan kaitan agama dalam masyarakat Singapura termasuk menganjurkan forum yang membincangkan isu seperti ateisme.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.