Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada had saiz kumpulan mulai 26 April, semua pekerja boleh kembali ke tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Apr 2022 08:57PM Dikemas Kini : 23 Apr 2022 12:27AM

SINGAPURA: Mulai 26 Apr, had saiz kumpulan bagi perhimpunan sosial akan ditiadakan, sedang Singapura mengambil satu langkah besar ke arah menjalani kehidupan seperti biasa, dengan lebih banyak sekatan-sekatan COVID-19  dilonggarkan.

Aturan jarak selamat tidak lagi diperlukan antara individu atau antara kumpulan, umum Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 pada Jumaat (22 Apr).

Semua pekerja juga boleh kembali ke tempat kerja, satu tambahan daripada had 75 peratus daripada mereka yang boleh bekerja  dari rumah.

Dengan jumlah kes COVID-19 semakin merosot dan mantap di Singapura, Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) diturunkan dari tahap risiko tinggi ‘Jingga’ kepada paras 'Kuning' mulai 26 Apr.

Rangka kerja DORSCON dinaikkan kepada Jingga pada 7 Feb 2020.

"Masanya tepat" untuk menurunkannya kepada Kuning, kata pengerusi bersama pasukan bertindak Gan Kim Yong dalam  satu sidang media.

“Di bawah DORSCON Kuning, setiap daripada kita mesti terus mematuhi langkah pengurusan selamat dan melaksanakan tanggungjawab sosial. Ini bermakna jika anda tidak sihat, kita harus duduk di rumah. Kita juga mesti menjaga kebersihan diri dan mematuhi nasihat kesihatan,” kata Encik Gan, yang merupakan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT DILONGGARKAN

Dengan pelonggaran sekatan, tidak lagi perlu untuk mengekalkan saiz kumpulan kepada 10 orang bagi kegiatan di mana peserta tidak dikehendaki memakai pelitup mulai 26 Apr.

Begitu juga dengan had tetamu bagi setiap kunjungan ke rumah turut  ditarik balik, kata pengerusi bersama pasukan bertindak Lawrence Wong. 

Had kapasiti 75 peratus bagi acara dengan lebih 1,000 orang, yang memerlukan hadirin memakai pelitup juga ditarik balik, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan berasingan.

Namun, pemakaian pelitup akan kekal diperlukan dalam keadaan di dalam bangunan, termasuk dalam pengangkutan awam. Pemakaian pelitup kekal tidak diwajibkan di luar.

Di tempat kerja, pekerja akan dibenarkan menanggalkan pelitup mereka apabila mereka tidak berinteraksi secara fizikal dengan orang lain dan apabila mereka tidak berada di kawasan yang berdepan dengan pelanggan.

"Walaupun kelonggaran ini akan memberikan  fleksibiliti kepada pekerja sedang lebih ramai pekerja kembali ke tempat kerja, semua orang dinasihatkan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial dan mengekalkan jarak selamat yang sesuai apabila membuka pelitup," tambah MOH.

“Walaupun dengan perubahan ini, kami menggalakkan majikan agar mengekalkan aturan kerja yang fleksibel, seperti kerja dari rumah dan waktu kerja berbeza, sebagai ciri tetap di tempat kerja." 

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan