Tiada geran Pemerintah ditawarkan bagi konsert Lady Gaga di SG
Tiada subsidi Pemerintah ditawarkan bagi konsert Lady Gaga, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di Parlimen pada Isnin (10 Mac).

Tiada subsidi Pemerintah ditawarkan bagi konsert Lady Gaga. (Gambar fail: AP/Chris Pizzello)
Menjawab soalan oleh Anggota Parlimen Sitoh Yih Pin (PAP-Potong Pasir), Encik Tong berkata segala aturan bagi konsert itu dikendalikan secara langsung oleh Kallang Alive Sport Management (KASM).
"Mereka berunding secara langsung dengan penyanyi itu dan pasukannya, termasuk Live Nation," kata Encik Tong, yang sebelum ini telah membentangkan peruntukan belanjawan kementeriannya untuk tahun ini.
"Tiada geran pemerintah diberikan untuk memperolehi acara itu. Ia adalah perjanjian komersial semata-mata antara pihak artis dan penganjur."
Dalam jawapan kepada pertanyaan oleh Mediacorp, pengarah bagi acara riadah STB Guo Teyi berkata: "Kami mengalu-alukan penambahan konsert Lady Gaga ke dalam kalendar hiburan Singapura yang cukup meriah - ia satu pencapaian oleh rakan-rakan kongsi industri kami yang mencerminkan tarikan negara ini sebagai destinasi gaya hidup utama."
"Kejayaan Singapura dalam menganjurkan acara antarabangsa besar-besaran datang daripada kekuatan bersama ekosistem hiburan kita.
"Rakan-rakan kongsi industri kita telah membina kepakaran mendalam dan mencapai rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan pengalaman yang luar biasa.
"Ini dilengkapi dengan lokasi-lokasi acara yang bertaraf dunia, ketersambungan serantau yang kukuh, infrastruktur hebat dan pilihan penginapan pelbagai yang memenuhi pilihan setiap pelawat yang berbeza."
Pada Isnin (10 Mac), ia diumumkan bahawa penyanyi pop itu akan mengadakan persembahan di Stadium Negara Singapura pada Mei.
Penyanyi itu akan mengadakan empat persembahan di tempat itu, dengan sesi pertama berlangsung pada 18 Mei.
Tarikh-tarikh persembahannya yang lain adalah pada 19, 21 dan 24 Mei.
Singapura adalah satu-satunya tempat persinggahannya di Asia bagi konsert jelajah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.