Tiada gangguan pada pengurusan sisa S'pura setelah loji Tuas ditutup susuli kemalangan maut
Khidmat pengumpulan dan pengurusan sisa di Singapura tidak terjejas sekalipun berlaku kemalangan maut di Loji Pembakaran Sampah Tuas yang menyebabkan loji berkenaan terpaksa menghentikan operasinya buat masa ini, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (28 Sep).
Loji Pembakaran Tuas. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Khidmat pengumpulan dan pengurusan sisa di Singapura tidak terjejas sekalipun berlaku kemalangan maut di Loji Pembakaran Sampah Tuas yang menyebabkan loji berkenaan terpaksa menghentikan operasinya buat masa ini, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (28 Sep).
"Khidmat pengumpulan dan pengurusan sisa di Singapura diteruskan tanpa gangguan kerana terdapat keupayaan yang mencukupi pada loji-loji yang lain," menurut jurucakap NEA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
"Tiada kesan terhadap penjanaan tenaga kerana sisa dibakar di loji-loji lain."
Ini setelah dua pegawai NEA terkorban menyusuli satu "insiden letupan" pada 23 September lalu di sebuah bilik suis elektrik di loji Tuas yang dikendalikan oleh NEA.
Mangsa pertama, seorang pengurus kanan kejuruteraan berusia 65 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa kedua pula seorang pengurus eksekutif kejuruteraan yang maut tiga hari selepas kejadian itu akibat kecederaan yang dialaminya. Pekerja ketiga, seorang pengurus kejuruteraan kini dirawat di unit jagaan rapi setakat Ahad lalu.
Ketiga-tiga pekerja berada di bilik suis berkenaan ketika letupan berlaku.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kebakaran itu melibatkan suis kipas cerobong di dalam bilik itu. Sekitar 80 orang berjaya menyelamatkan diri daripada premis berkenaan.
NEA sebelum ini menyatakan operasi di loji Tuas itu dihentikan menyusuli kejadian tersebut, yang bermakna ia tidak lagi menerima atau membakar sampah.
"Loji Pembakaran Sampah Tuas akan beroperasi semula pada tarikh yang akan ditentukan kelak setelah siasatan selesai dijalankan," kata jurucakap NEA itu kepada Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.