Skip to main content

Singapura

'Tiada empati', 'Jauh berbeza dari Twitter yang dahulu', kata bekas pekerja Twitter SG

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada empati', 'Jauh berbeza dari Twitter yang dahulu', kata bekas pekerja Twitter SG

Gambar: AFP/ Glenn Chapman

Diterbitkan : 17 Nov 2022 09:39AM
SINGAPURA: Lebih seminggu selepas kakitangan Twitter di Singapura mengetahui nasib mereka di firma gergasi media sosial itu, situasi masih belum jelas.

Dalam temu bual bersama Mediacorp, pekerja di ibu pejabat Asia Pasifik di Singapura melafazkan rasa kurang berpuas hati dan kecewa terhadap kepimpinan dan komunikasi Twitter serta pakej pemutusan khidmat kerja yang diberikan.

Mediacorp cuba menghampiri 10 bekas pekerja dan kakitangan sedia ada Twitter untuk mengesahkan perkara ini dan hanya dua yang bersetuju untuk ditemu bual atas syarat nama mereka tidak didedahkan.

Dilaporkan bahawa separuh daripada 7,500 tenaga kerja global Twitter dipecat sewaktu Elon Musk mengambil alih syarikat tersebut pada lewat bulan Oktober.

"Mengenai pengurangan tenaga kerja itu, malangnya (kami) tiada pilihan apabila syarikat kerugian lebih $4 juta setiap hari," menurut Encik Musk di Twitter.

Gergasi teknologi yang lain termasuk Meta Facebook dan Microsoft juga memberhentikan ribuan pekerja tahun ini. Bagi Singapura pula, syarikat Shopee sudah melakukan tiga kali pusingan pemberhentian pekerja sejak Jun.

Namun pekerja Twitter Abigail (bukan nama sebenar), yang hilang pekerjaan pada November memberitahu Mediacorp bahawa pemberhentian di Twitter "bukan seperti di syarikat teknologi lain... disebabkan skala dan cara ia dilakukan".

Carmen (bukan nama sebenar), seorang lagi pekerja yang dibuang kerja berkata perubahan pemilik di Twitter ibarat "pengambilalihan oleh seorang musuh" dan cara syarikat menjalankan pemberhentian tersebut "sangat mengecewakan".

"Saya rasa ini bukan cara menangani sesuatu peralihan. Saya faham dengan pengurusan baru, kepimpinan baru, mereka pasti mahu perubahan. Namun mereka langsung tidak fikirkan ribuan pekerja di seluruh dunia," kata beliau.

"Tiada empati langsung, jauh berbeza daripada Twitter yang dahulu, di mana kami selalu menitikberatkan ketelusan dan empati."

Twitter bagaimanapun tidak memberi sebarang respons selepas dihubungi Mediacorp melalui emel pada Selasa (15 Nov).

CARA MEREKA DIBERHENTIKAN

Cik Carmen sedang dalam perjalanan ke pejabat pada 4 November apabila dia menerima emel yang dihantar kepada semua kakitangan di Twitter pada pukul 8.20 pagi. Emel tersebut menyatakan akan ada pemberhentian dan lencana akses para pekerja tidak akan berfungsi dan mereka dinasihatkan supaya tidak ke pejabat. Lantas, Carmen berpatah balik untuk pulang ke rumah.

Dalam masa sejam, rakan sekerja di Eropah, Timur Tengah dan Afrika hilang akses kepada sistem syarikat seperti emel dan Slack. Apabila ini kemudiannya berlaku di Amerika Syarikat, mereka di kawasan Asia Pasifik mula mempersiapkan diri mereka, kata beliau.

Pekerja Twitter mendengar khabar angin akan adanya pemberhentian besar-besaran melalui berita dan catatan di Blind, forum yang tidak mendedahkan identiti untuk para pekerja dari pelbagai syarikat. Oleh itu mereka menjangkakan pemberhentian tersebut namun masih terperanjat dengan berapa pantasnya ia berlaku, kata Carmen.

Beliau hilang akses kepada sistem syarikat pada pukul 1.00 tengah hari dan dalam masa beberapa jam, menerima emel yang memaklumkan bahawa beliau diberhentikan.

Akhirnya, sebahagian besar kakitangan dalam pasukan global Carmen dibuang kerja.

"Saya berasa amat sedih," beliau memberitahu Mediacorp. "Apabila mendapat tahu rakan sekerja saya juga dipecat, fikiran utama saya: 'Wah, kerja kami selama ini sia-sia sahaja.'"

Gangguan itu juga menjejas pekerja Twitter yang masih mempunyai pekerjaan mereka. Cik Carmen berkata mereka yang bercakap dengan beliau, beremosi dan seolah-olah berasa "bersalah kerana terselamat" selepas pemberhentian berlaku.

“Ia juga masa yang pelik bagi pasukan tertentu di mana pengurus mereka diberhentikan jadi mereka pergi ke pejabat pada hari Isnin tersebut tanpa mengetahui apa yang berlaku,” tambahnya.

Cik Abigail berkata terdapat pasukan yang "seluruh barisan atasan" diberhentikan: "Jadi pengurus anda tiada di sana, pengurus bagi pengurus anda juga tiada di sana ... jadi apa yang harus anda lakukan?

Mengimbas kembali, Cik Carmen berkata titik apabila beliau dan pekerja lain mula berasa tidak senang adalah selepas Encik Musk memecat Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Parag Agrawal, CFO Ned Segal dan peguam tertinggi Vijaya Gadde selepas perjanjian itu selesai pada 27 Oktober.

Beliau mengimbas kembali perasaan kecewa di pejabat pada hari itu ketika pekerja menunggu pengumuman rasmi mengenai pemberhentian tersebut. Namun tiada sebarang maklum balas daripada pihak pengurusan.

“Semasa peralihan, saya tidak fikir ia adalah perkara biasa untuk memecat CEO serta-merta. Tetapi itulah yang berlaku. Sejak itu, ramai lagi pegawai atasan (eksekutif), sama ada dilepaskan atau meletak jawatan, dan memang ada kekosongan di bahagian atas.

"Terus terang, jika saya tidak diberhentikan, saya tidak fikir saya akan mahu terus bekerja di Twitter baru ini," katanya.

PAKEJ PEMUTUSAN KHIDMAT KERJA

Pekerja Twitter yang diberhentikan di Singapura menerima perjanjian pemisahan mereka pada 9 November dan diberi masa sehingga Rabu (16 Nov) untuk membalas, menurut e-mel dalaman yang dilihat oleh Mediacorp.

Mereka diberikan cuti sementara atau 'garden leave' sehingga 31 Disember, selepas itu mereka ditetapkan untuk menerima bayaran pemutusan khidmat kerja jika mereka menerima syarat-syaratnya, kata Cik Carmen.

Garden leave merujuk kepada tempoh pekerja diminta untuk tidak melaporkan diri untuk bekerja semasa tempoh notis namun masih dalam senarai gaji. Ini biasanya dilakukan untuk mengeluarkan mereka keluar daripada pejabat sebelum pekerja memulakan pekerjaan lain, yang mungkin dengan syarikat pesaing.

Cik Abigail dan Cik Carmen masing-masing ditawarkan setengah bulan gaji untuk setiap tahun mereka kerja di Twitter.

Kedua-duanya menegaskan bahawa tawaran itu lebih rendah daripada apa yang dikatakan Encik Musk menerusi Tweet sebelum ini mengenai pemberhentian global, di mana dia berkata bahawa "semua orang yang keluar ditawarkan gaji tiga bulan".

Apabila ditanya sama ada beliau berhasrat untuk menerima perjanjian pemisahan itu, Cik Carmen berkata: "Saya rasa saya akan terima, tetapi saya masih menunggu untuk melihat jika ada ruang bagi rundingan."

Di Singapura, majikan dikehendaki mengikut undang-undang memberitahu Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang pemberhentian dalam tempoh lima hari bekerja selepas memaklumkan kepada pekerja tentang pemberhentian mereka.

Cik Carmen berkata beliau tidak menghubungi MOM atau mana-mana kesatuan mengenai perjanjian pemisahan itu, tetapi mengetahui orang lain yang cuba menyertai rundingan sedemikian.

"Sebab itu saya juga menunggu sehingga saat-saat akhir sekiranya keadaan berubah," katanya.

Twitter tiada kesatuan di Singapura. Cik Abigail berkata beliau menerima maklum balas daripada Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), tetapi "tidak bermanfaat buat waktu ini".

Sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp, NTUC menyatakan ia dan kesatuan gabungannya, Creative Media dan Kesatuan Penerbitan, tahu akan pemberhentian pekerja Twitter baru-baru ini. Pekerja Twitter yang memerlukan bantuan di tempat kerja atau sokongan pekerjaan boleh mendekati kesatuan itu, menurut NTUC.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita