Tiada bukti virus korona baru dapat menular menerusi udara, tegas MOH
Tiada bukti menunjukkan virus korona baru (2019-nCoV) boleh menjangkiti seseorang menerusi udara, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (10 Feb) dalam kemas kini berhubung situasi virus itu di Singapura.

(Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Tiada bukti menunjukkan virus korona baru (2019-nCoV) boleh menjangkiti seseorang menerusi udara, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (10 Feb) dalam kemas kini berhubung situasi virus itu di Singapura.
MOH menyatakan ia sedang mengkaji laporan yang menyatakan virus tersebut boleh merebak melalui udara, namun buat masa ini tiada bukti menggambarkan demikian.
"Berdasarkan bukti yang ada di China, seorang pakar dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China menyatakan bahawa belum ada bukti bahawa virus itu bolehmenular melalui udara," MOH menyatakan.
Buat masa ini, cara ia berjangkit yang diketahui adalah menerusi titisan apabila seseorang itu bernafas dan sentuhan fizikal, katanya.
Seorang penyelidik di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China pada Ahad memberitahu para wartawan bahawa virus korona baru itu tidak terapung di udara buat jangka masa yang lama.
Maka itu tiada bukti menunjukkan bahawa virus baru tersebut boleh merebak menerusi udara, lapor agensi berita Xinhua memetik Feng Luzhao sebagai berkata.
Virus itu rata-rata disebarkan melalui titisan pernafasan dan sentuhan, dan biasanya dalam lingkungan satu hingga dua meter, tambah laporan itu lagi.
Kenyataan Feng dibuat sehari selepas seorang pegawai di Shanghai dilaporkan sebagai berkata bahawa virus korona baru itu boleh disebarkan menerusi udara.
"Penularan menerusi udara merujuk kepada virus berkenaan bercampur dengan titisan di udara untuk membentuk partikel kecil di udara yang dapat bertahan untuk waktu yang lama, yang menyebabkan jangkitan setelah terhidu, menurut pakar perubatan," kata Zeng Qun, timbalan ketua Biro Ehwal Awam Shanghai seperti dilaporkan China Daily.
Zeng berkata bahawa laluan jangkitan yang disahkan termasuk jangkitan langsung, jangkitan sentuh dan jangkitan menerusi titisan di udara, laporan itu menambah.
Setakat Isnin, 45 jangkitan virus korona baru disahkan di Singapura.
Kes terbaru membabitkan kakitangan Certis Cisco berusia 37 tahun yang tidka pernah ke China baru-baru dan seorang budak perempuan berusia dua tahun, salah seorang daripada 92 warga Singapura yang dipindahkan dari Wuhan pada 30 Jan.
Virus korona baru itu mula menular di bandar Wuhan, China tetapi sudah merebak ke lebih 20 negara.
900 orang terkorban akibat virus itu setakat ini, dengan lebih lebih 40,000 jangkitan dilaporkan, kebanyakannya di tanah besar China.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.