Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tiada bukti jelas' penggunaan dadah semasa oleh Joseph Schooling & Amanda Lim, kata Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada bukti jelas' penggunaan dadah semasa oleh Joseph Schooling & Amanda Lim, kata Shanmugam

(Gambar: Matt Slocum/AP, Facebook/Team Singapore/SportSG)

SINGAPURA: Tiada bukti jelas bahawa perenang negara Joseph Schooling atau Amanda Lim mengambil dadah buat masa ini, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam pada Khamis (1 Sep).

Dalam catatan Facebooknya, Encik Shanmugam turut mendedahkan bahawa hasil ujian air kencing kedua-dua perenang itu adalah negatif dan oleh itu bukti terhadap mereka berdua tidak dapat "dimuktamadkan".

“Mereka bagaimanapun jujur ​​dan mengaku pernah mengambil dadah,” kata Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam menambah Lim juga didapati mempunyai peralatan dadah dalam milikannya, dan Lim sudah diberikan amaran keras oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Bagi Schooling pula, Encik Shanmugam berkata bahawa dia sudah dirujukkan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) memandangkan dia masih menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa.

"MINDEF sudah memutuskan langkah-langkah yang perlu diambil dan sudahpun mengumumkan apa yang telah diputuskan."

MINDEF menyatakan pada hari Selasa (30 Ogos) bahawa pihaknya sudah mengeluarkan amaran terhadap Schooling dan dia diletakkan di bawah rejim ujian air kencing selama enam bulan.

Dia juga tidak lagi layak mendapat cuti atau diberikan pengecualian untuk berlatih atau bertanding semasa menjalani NS.


Encik Shanmugan juga menjelaskan dalam catatannya bahawa Singapura tidak akan menghantar seseorang individu ke pusat pemulihan, ataupun mengeluarkan amaran, sekiranya tiada hasil ujian yang positif.

Sungguhpun demikian, jika terdapat "bukti jelas yang menunjukkan penggunaan dadah", CNB menurut Encik Shanmugam, akan mengambil tindakan terhadap individu itu, tidak kira sama ada penggunaan dadah itu berlaku di Singapura atau luar negara.

"Maka itu, jangan menganggap jika anda mengambil dadah di luar negara, anda akan dilepaskan dengan amaran saja," tegas Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam mengeluarkan komen tersebut di Facebook sebagai respons kepada soalan yang diajukan kepadanya tentang mengapa Lim dilepaskan dengan amaran dan tanpa sebarang tindakan diambil terhadap Schooling oleh CNB setelah mengambil kira dasar Singapura yang tidak bertolak ansur terhadap dadah.

Soalan-soalan itu diajukan selepas pihak berkuasa mengumumkan pada Selasa bahawa Schooling mengaku mengambil ganja pada Mei sekalipun hasil ujiannya negatif.

Encik Shanmugam menegaskan bahawa walaupun Singapura mengambil pendekatan yang tegas terhadap pengedar dadah dan juga mereka yang terlibat dalam perdagangan dadah termasuk mengenakan hukuman mati, cara ia menangani "penyalah guna dadah yang tidak melakukan sebarang kesalahan lain" adalah berbeza.

"Sejak 2019, pendekatan kami adalah untuk menangani penyalah guna dadah sebagai individu yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya. "Mereka tidak akan dihukum penjara atau mempunyai rekod jenayah, walaupun pengambilannya adalah satu kesalahan."

Sebaliknya, beliau berkata Singapura akan mengambil langkah-langkah untuk "membantu mereka menjalani pemulihan" - termasuk menghantar mereka ke pusat pemulihan dadah atau meletakkan mereka di bawah pengawasan.

"Ini akan membantu mereka untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat dengan lebih pantas dan berkesan," katanya.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan