'Tiada bukti gelombang baru' meski jumlah kes COVID-19 meningkat, kata Ong Ye Kung

SINGAPURA: "Tiada bukti menunjukkan terdapat gelombang baru" meskipun jumlah kes COVID-19 baru-baru ini meningkat dalam kalangan masyarakat.
Demikian ditekankan oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (12 Mei).
Menyifatkan trend tersebut sebagai "kenaikan kecil" jumlah kes, Encik Ong berkata menerusi catatan Facebooknya bahawa "jumlah kes dalam masyarakat sedang meningkat, tetapi tidak berganda setiap beberapa hari".
"Kenaikan itu juga sudah dijangkakan, memandangkan kita sudah melonggarkan hampir sepenuhnya sekatan ke atas kegiatan-kegiatan sosial sejak 26 April," tambah beliau.
Kebanyakan kes COVID-19 itu juga hanya menunjukkan gejala ringan dan pulih "tanpa sebarang masalah" di rumah, kata Encik Ong, sambil menambah bahawa hospital-hospital dan unit jagaan rapi juga tidak menyaksikan kenaikan tinggi kes.
"Dengan daya tahan yang kukuh terhadap virus itu menerusi vaksinasi dan pemulihan daripada jangkitan lalu, kita boleh melihat menerusi kenaikan kecil dalam jumlah kes ini, tanpa sebarang perubahan kepada langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada," kata beliau.
Encik Ong menambah bahawa Singapura akan terus memantau keadaan dengan rapi, "memandangkan keadaan boleh berubah sekelip mata, lebih-lebih lagi jika jujukan baru muncul".
"Lantaran itu, meskipun kita menikmati tempoh lega sekarang ini, kita tidak harus leka dan sebaliknya terus memastikan tanggungjawab peribadi dan sosial dijaga setiap masa," kata beliau.
Singapura melaporkan 3,890 kes COVID-19 pada Rabu (11 Mei) dan 3,645 kes pada Khamis (12 Mei).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.