Tiada bonus akhir tahun bagi kakitangan awam, namun bonus bulan ke-13 tetap dibayar: PSD
Kakitangan perkhidmatan awam tidak akan menerima bonus akhir tahun, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Jumaat (27 Nov).

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Kakitangan perkhidmatan awam tidak akan menerima bonus akhir tahun, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Jumaat (27 Nov).
Dengan mengambil kira Komponen Berubah-Ubah Tahunan (AVC) pertengahan tahun yang tidak dikeluarkan seperti diumumkan sebelum ini, PSD menyatakan para pekerja tidak menerima AVC bagi keseluruhan tahun ini.
Pemerintah akan terus membayar Elaun Tahunan Bukan Pencen sebanyak sebulan gaji, juga dikenali sebagai bonus bulan ke-13 kepada semua kakitangan awam.
Bayaran sekali sahaja sebanyak S$1,200 turut akan dibayar kepada semua pegawai Gred III hingga V dalam Skim Sokongan Operasi bagi menyediakan "lebih banyak bantuan kepada kakitangan awam bergaji rendah semasa tempoh sukar ini".
Pada awal tahun ini, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengurangkan ramalan pertumbuhan GDP kepada -6.5 peratus daripada -6.0 peratus.
"Menurut unjuran awal Kementerian Tenaga Manusia, kadar pengangguran penduduk dan rakyat naik pada suku ketiga," menurut PSD sambil menambah bahawa pandemik COVID-19 meninggalkan "kesan mendalam" terhadap ekonomi dan pasaran buruh Singapura.
"Setelah berunding rapat bersama kesatuan sekerja sektor awam, Pemerintah memutuskan bahawa tiada bayaran AVC akhir tahun bagi kakitangan awam pada tahun ini," tambahnya.
PSD menyatakan kakitangan awam telah "menjalankan tugas lebih daripada apa yang diperlukan", sambil menambah bahawa Pemerintah "sangat-sangat menghargai" kerja keras mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.