Tiada bayangan kontrak F1 dilakarkan untuk merugikan pemerintah: MTI
Semua persiapan bagi acara Grand Prix Formula 1 Singapura tahun ini menepati jadual, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (18 Jan), sambil menambah tiada bayangan kontrak acara tersebut dilakarkan untuk merugikan pemerintah.
"Syarat-syarat semua perjanjian dipertimbangkan dengan teliti oleh pemerintah. Terdapat kajian perunding bebas," menurut MTI dalam satu kenyataan selepas bekas Menteri Pengangkutan S Iswaran didakwa atas beberapa kesalahan, termasuk rasuah.
"Tiada bayangan setakat ini bahawa kontrak F1 atau kontrak-kontrak lain dilakarkan untuk merugikan pemerintah."
Encik Iswaran, yang merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Perdagangan, terbabit secara aktif dalam pendampingan pemerintah bersama F1.
Beliau mengaku tidak bersalah ke atas semua 27 tuduhan, yang berhubung kait dengan interaksinya dengan hartawan Ong Beng Seng, yang memiliki hak kepada Grand Prix Singapura dan merupakan pengerusi promosi acara perlumbaan Singapore GP.
Edisi Grand Prix Singapore tahun ini dijadualkan pada 20 hingga 22 September.
MTI menyatakan sejak acara itu dilancarkan pada 2008, Grand Prix Singapura telah membawa "manfaat ketara" kepada Singapura, dengan menarik lebih daripada 550,000 pelawat antarabangsa dan menjana sekitar S$2 bilion dalam resit pelancongan tambahan.
Ia juga meningkatkan reputasi Singapura sebagai sebuah "nadi global-asia yang bertenaga".
"Antara 2008 hingga 2022, acara perlumbaan itu telah menarik lebih 1 bilion penonton global," menurut MTI.
"Banyak acara perniagaan antarabangsa, seperti Forum Kepimpinan TIME100, Persidangan CEO Global Forbes, Sidang Puncak Asia Institut Milken dan SuperReturn Asia telah dianjurkan sekitar perlumbaan F1 di Singapura bagi memanfaatkan peluang mengadakan mesyuarat dan rangkaian di peringkat tinggi."
Di luar sektor pelancongan, MTI menyatakan acara perlumbaan itu telah memanfaatkan banyak syarikat Singapura yang terlibat dalam aspek-aspek berbeza acara itu, seperti khidmat logistik, pengangkutan, binaan dan kejuruteraan.
"Selain itu, lebih daripada 1,000 pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik kami dilatih untuk melakukan pelbagai peranan di litar perlumbaan F1 setiap tahun, justeru memberikan peluang unik kepada mereka untuk turut serta dalam acara antarabangsa peringkat dunia," kata MTI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.