Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada barisan beratur, pembelian panik atau kekurangan bekalan pada hari pertama larangan eksport ayam

Cukup bekalan yang dipaparkan dan kurang barisan beratur di sesetengah gerai yang menjual ayam segar di pasar-pasar basah di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada barisan beratur, pembelian panik atau kekurangan bekalan pada hari pertama larangan eksport ayam

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Cukup bekalan yang dipaparkan dan kurang barisan beratur di sesetengah gerai yang menjual ayam segar di pasar-pasar basah di Singapura.

Demikian keadaan di pasar-pasar tersebut pada hari pertama Malaysia melarang eksport ayam ke negara ini pada Rabu (1 Jun).

Ini jauh berbeza berbanding barisan beratur panjang di sebilangan kedai nasi ayam semalam, di tengah-tengah kebimbangan kekurangan bekalan bagi hidangan tersebut.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan minggu lalu bahawa negara itu akan melarang eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun sebagai salah satu langkah bagi menangani kekurangan bekalan domestik.

Ia dilakukan sebagai "langkah jangka pendek" bagi menghentikan eksport sehingga 3.6 juta ekor ayam sebulan, sehingga harga dan pengeluaran domestik kembali stabil, kata beliau.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), sekitar sepertiga bekalan ayam Singapura (SFA) diimport dari Malaysia. Sumber utama lain termasuk Brazil (49 peratus) dan Amerika Syarikat (12 peratus).

Menyusuli pengumuman Malaysia itu, SFA juga menyatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mengaktifkan rantaian bekalan bagi meningkatkan import ayam yang disejukkan dan ayam beku dari sumber-sumber alternatif, atau mengambil dari stok ayam.

Apabila Mediacorp mengunjungi pasar-pasar tempatan minggu lalu, sebilangan pegerai meluahkan kebimbangan tentang larangan eksport tersebut, terutama sekali dengan harga makanan semakin meningkat sejak bulan lalu.

Mereka juga bimbang larangan itu akan menyebabkan harga terus melonjak sehingga mereka kehilangan pelanggan.

Menurut data Jabatan Statistik Singapura, harga purata ayam yang disejukkan adalah S$7.21 sekilogram pada bulan April tahun ini, naik daripada S$6.60 bagi sekilogram pada bulan Mac.

Harga kepak ayam yang disejukkan juga meningkat dari S$8.75 sekilogram kepada S$9.45 sekilogram pada bulan April.

Atas sebab itu, sebilangan pegerai berkata mereka mungkin terpaksa menghentikan perniagaan jika tiada bekalan.

"TIADA PILIHAN" TERPAKSA JUAL AYAM BEKU

Sebilangan pegerai yang lain pula berkata mereka mungkin "tiada pilihan" kecuali menjual ayam beku sebaik sahaja bekalan ayam segar kehabisan. Para pembekal juga memberitahu mereka, masih ada cukup bekalan buat masa ini bagi tempoh dua minggu akan datang.

"Jika mereka ada ayam beku, kami akan jual juga. Tiada pilihan. Semalam, kami bertanya (pemilik pasar) sama ada kami boleh menjual ayam beku jika kehabisan stok ayam segar. Dia kata boleh, jika tidak, ia tidak adil kepada kami," kongsi pemilik kedai 49 tahun, Cik Linda Wati Tjong di Pasar Bukit Merah View.

Apabila Mediacorp mengunjungi gerai mereka minggu lalu, suaminya Encik Peh Ah Lai berkata "mereka tidak boleh menyara kehidupan" jika mereka tidak menaikkan harga.

Di Halnaz Frozen Goods di pasar yang sama, pemilik kedai Mohamed Basheer memberitahu Mediacorp pembekalnya memaklumkan masih ada bekalan ayam segar untuk 15 hari lagi.

Pelanggan juga tidak begitu ramai di gerainya pada Rabu, tetapi beliau berkongsi hari Isnin dan Rabu "agak sunyi" di pasar kerana beberapa gerai yang menjual ikan ditutup.

Beliau juga berkata sebilangan pelanggannya "mengubah pemikiran mereka" tentang ayam beku, yang turut dijualnya.

"Sebilangan pelanggan tidak suka, tetapi bagi pelanggan-pelanggan lain, mereka sudah mengubah pemikiran mereka. Mereka bersedia menerima ayam beku sekarang."

TIADA RAK KOSONG DI PASAR RAYA

Sejak dua hari lalu, Mediacorp juga mengunjungi beberapa pasar raya bagi meninjau-ninjau jumlah yang dijual.

Pada awal tengah hari Isnin, separuh daripada rak-rak di Fairprice Finest di Tiong Bahru Plaza sudah habis dijual. Ayam beku juga dilihat tidak mencukupi. Namun, pada awal pagi Selasa, rak-rak itu sudah diisi semula.

Para pelanggan yang lalu-lalang juga kelihatan tidak berebut-rebut untuk membeli paket-paket ayam itu.

Seperti yang diungkapkan seorang pejalan kaki di Pasar Tiong Bahru selepas berjalan lalu sebuah gerai menjual ayam segar pada Rabu: "Masih ada banyak lagi (ayam). Kenapa mereka cakap tiada lagi?"
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan