Tiada aktiviti mencurigakan dikesan di SNEF susuli 'kelemahan prosedur tadbir urus'
Presiden dan anggota Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) Dr Robert Yap mengundurkan diri pada 11 Jun lalu, di mana SNEF turut mengumumkan bahawa ia menemukan "kelemahan prosedur tadbir urus" semasa satu semakan dalaman yang biasa dilakukan. (Gambar: SNEF/Facebook)
Demikian menurut pertubuhan tersebut pada Selasa (17 Sep).
Semakan bebas itu dilaksanakan selepas majlis SNEF dimaklumkan mengenai adanya "kelemahan prosedur tadbir urus" semasa satu semakan dalaman yang biasa dilakukan.
SNEF mengumumkan penemuan kelemahan itu pada 11 Jun lalu.
Pada hari yang sama, ia juga mengumumkan bahawa presiden dan anggota majlis Dr Robert Yap akan mengundurkan diri.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa, SNEF menyatakan bahawa "semakan bebas ke atas proses dalaman itu oleh perunding luar sudah dimuktamadkan dan ia tidak mengenal pasti sebarang bukti yang menunjukkan bahawa terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan, disengajakan atau penipuan".
SNEF juga menekankan bahawa tiada sebarang impak terhadap kenyataan kewangannya.
"Majlis itu memandang serius tanggungjawab SNEF dalam menjunjung sasaran tadbir urus dan membuat pendirian yang tegas untuk meneruskan semakan bebas terhadap proses dalaman apabila kesilapan prosedur tadbir urus dibawa ke perhatian mereka," jelas SNEF.
"Majlis akan terus meneliti dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan lagi tadbir urus dan proses dalaman dalam SNEF sedang kami memberi tumpuan kepada memajukan perikatan tiga pihak di Singapura."
Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan SNEF sudah memaklumkan keputusan semakan itu kepadanya.
"Berdasarkan hasil dapatan semakan itu, tiada aktiviti mencurigakan yang dikesan daripada kesilapan prosedur yang ditemui oleh majlis SNEF," kata kementerian itu.
"Kami menghargai usaha SNEF untuk menangani perkara ini dengan tegas, dan mengalu-alukan komitmen SNEF untuk memulakan usaha selanjutnya untuk mengukuhkan proses tadbir urus dalamannya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.