Skip to main content

Singapura

Tiada aduan serius sebelum penutupan Little Professors Learning Centre: MOE

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada aduan serius sebelum penutupan Little Professors Learning Centre: MOE
Little Professors Learning Centre di Jurong West St 81, pada 17 Februari 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Diterbitkan : 02 Mar 2026 03:45PM
SINGAPURA: Tiada apa-apa yang "tidak wajar berlaku" dalam maklum balas yang diterima oleh Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai Little Professors Learning Centre (LPLC) sebelum perkhidmatan pusat itu ditamatkan, kata Menteri Negara Kanan Pendidikan Janil Puthucheary di parlimen pada Isnin (2 Mac).

Dr Janil menjawab pertanyaan AP Shawn Loh (PAP-Jalan Besar) yang bertanya tentang dasar pemberi maklumat MOE, sambil menekankan bahawa para ibu bapa berkongsi dengannya, yang mereka merasakan kejadian itu seharusnya dapat dielakkan.

"Para ibu bapa di estet Whampoa dan Boon Keng memberitahu saya mereka sudah pun memberi maklum balas mengenai mutu pusat jagaan kanak-kanak itu yang bertambah buruk pada tahun lalu.

"Jadi apabila MOE menyatakan ia hanya mendapat tahu mengenainya pada Februari tahun ini, para ibu bapa memberitahu saya bahawa ini tidak selari dengan maklum balas yang diberikan," katanya.

Dalam jawapannya, Dr Janil berkongsi pihak kementerian menyemak aduan dan maklum balas mengenai LPLC sepanjang tahun lalu.

"Terdapat pelbagai perkara, tentu sekali, sesetengah maklum balas adalah tentang, sebagai contoh, mutu makanan, tingkah laku seorang pelajar terhadap seorang lagi pelajar, aduan mengenai perkhidmatan atau guru dan kami juga menerima beberapa aduan dari guru sebagai kakitangan," katanya.

"Tiada apa-apa yang tidak wajar berlaku dalam maklum balas yang diterima dari Little Professors, dan tiada perbezaan dengan apa yang dilihat dari pengendali lain."

Beliau menambah berlaku kejadian serius pada Februari lalu, yang mendorong MOE untuk mengambil tindakan sebaik sahaja ia menerima maklumat itu.

"Kami sudah, sebagai keutamaan penting, tampil untuk menawarkan jagaan bagi kanak-kanak dan kemudian, apabila timbul beberapa isu berkaitan kewangan yang diketengahkan, kami membuat aduan polis dan perkara itu kini disiasat polis," katanya.

Perkhidmatan LPLC ditamatkan oleh MOE pada 14 Februari di tengah-tengah siasatan berhubung gaji kakitangan yang masih tertunggak dan pemotongan berganda dari akaun GIRO ibu bapa.

Aduan polis dibuat berhubung isu bayaran yuran tersebut.

Pengarah pusat itu juga tidak dapat dihubungi.

Pengendali privet itu mengendalikan pusat jagaan pelajar di lapan sekolah rendah - Anchor Green, Jing Shan, Kranji, Punggol Cove, Waterway, Westwood, Hong Wen dan White Sands.

Ia juga menyediakan khidmat Jagaan Tadika bagi tadika MOE di enam daripada sekolah rendah tersebut.

Berhubung dasar pemberi maklumat MOE, Dr Janil berkata para ibu bapa boleh memberi maklum balas secara langsung kepada pihak pengendali, sekolah atau MOE.

Tahun lalu, MOE menerima 212 emel dan panggilan telefon tentang maklum balas mengenai pusat jagaan pelaajr dan pusat jagaan tadika.

"Kami sudah pun meneliti kesemuanya dan berurusan dengan pihak sekolah dan pengendali apabila perlu," katanya.

Dr Janil menambah sebelum kejadian yang berlaku bersama LPLC, MOE tidak mempunyai sebarang alasan untuk menggantung perkhidmatan mana-mana pusat jagaan pelajar dan pengendali jagaan tadika yang berasaskan di sekolah.

"Sungguhpun begitu, kami sedia maklum sektor ini masih boleh dipertingkatkan untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik, mengukuhkan daya tahan pengendali dan memantau penyediaan perkhidmatan dengan lebih baik," katanya.

"Kami sedang menyemak proses-proses kami dengan lebih lanjut bagi pemilihan dan pemantauan pusat jagaan pelajar dan pengendali jagaan tadika."

Dalam kemas kininya mengenai pusat-pusat yang terjejas, Dr Janil berkata pihak sekolah sudah pun menawarkan sokongan jagaan sementara selepas waktu sekolah.

Para kakitangan dikerahkan secara bergilir dan pihak sekolah mendapatkan tenaga kerja tambahan, termasuk kakitangan sekolah yang sudah bersara, guru adjung fleksi dan jurulatih luar.

"Semua sekolah terjejas dapat terus menyediakan jagaan selepas waktu sekolah untuk para pelajar," katanya, sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Beliau menambah kakitangan sekolah yang memberi sumbangan tambahan semasa tempoh peralihan itu akan diiktiraf.

MOE juga sedang mencari pengendali baharu untuk menyediakan khidmat jagaan selepas waktu sekolah di sekolah-sekolah yang terjejas.

MEMERIKSA PENGENDALI

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen (AP) mengenai cara MOE memeriksa pengendalinya, Dr Puthucheary berkata sebagai sebahagian daripada proses pemilihan, pengendali perlu menunjukkan kedudukan kewangan yang mencukupi sebelum ia dipertimbangkan.

Selepas mereka dilantik, MOE dan pihak sekolah mengekalkan pengawasan dan memantau prestasinya dari segi sejauh mana ia dapat menyediakan perkhidmatan mereka, katanya.

Sejak Januari tahun lalu, semua kontrak yang diberikan memerlukan penghantaran penyata kewangan yang sudah diaudit setiap tahun.

"Ia adalah satu siri mekanisme yang berkembang. Kami menunggu siasatan mengenai apa yang berlaku dalam insiden ini, dan kami akan lihat sama ada terdapat pengajaran yang akan memaklumkan kami tentang sama ada kami perlu meletakkan mekanisme selanjutnya pada masa hadapan," katanya.

Buat masa ini, MOE bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan, yang menyokong anggota kakitangan yang terjejas dengan bantuan kewangan jangka pendek, rujukan pekerjaan dan bimbingan kerjaya.

"MOE dan pihak sekolah juga telah dapat menggajikan dan membayar bekas kakitangan LPLC di pusat asal mereka jika mereka berminat untuk berbuat demikian, sehingga pengendali tetap dilantik," katanya.

"Ini akan memberikan kestabilan kewangan untuk kakitangan yang terjejas ini buat sementara waktu sementara mereka terus menjaga pelajar kami."
 
Sumber : CNA/HA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita