Skip to main content

Singapura

Tharman Shanmugaratnam angkat sumpah jawatan Presiden ke-9 SG; tekankan usaha untuk kukuhkan kepelbagaian kaum, masyarakat inklusif

Anggaran Waktu Membaca:
Tharman Shanmugaratnam angkat sumpah jawatan Presiden ke-9 SG; tekankan usaha untuk kukuhkan kepelbagaian kaum, masyarakat inklusif

(Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 14 Sep 2023 09:15PM Dikemas Kini : 15 Sep 2023 05:52AM
SINGAPURA: Presiden baharu Singapura Tharman Shanmugaratnam berkata beliau merancang untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemerintah, untuk mengukuhkan kepelbagaian kaum dan masyarakat inklusif.

Presiden Tharman berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk menyokong daya usaha yang meningkatkan rasa hormat bagi rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Negara yang ke-9, selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana, malam Khamis (14 Sep).

"Saya akan menggalakkan usaha membina para pemegang berkepentingan masyarakat yang aktif dan masyarakat sivil bagi membantu mengembangkan budaya ini. Kita boleh melakukannya dengan menggalakkan daya usaha dari bawah agar berkembang," kata Presiden Tharman.

Beliau menambah dengan memberikan keyakinan kepada golongan remaja yang kurang bernasib baik, kepada menyokong mereka yang perlukan peluang kedua atau ketiga, dan membantu mereka yang menghadapi cabaran kesihatan mental.

Presiden Tharman turut menyebut tentang daya usaha kejiranan bagi menyokong para penjaga dan mendekati golongan warga emas yang berisiko hidup keseorangan.

Presiden Tharman juga menyentuh tentang usaha melindungi rizab negara yang beliau sifatkan telah menjadi sumber utama bagi negara ini.

Beliau memberi contoh ketika rizab negara diperlukan semasa pandemik.

Dan Singapura harus bersedia bagi krisis-krisis masa depan seperti perubahan iklim.

Presiden Tharman juga berkata terdapat ancaman-ancaman jangka panjang kepada kewujudan Singapura dan kehidupan generasi masa depan.

Perubahan iklim kata Presiden Tharman adalah cabaran utama bagi dunia terutama bagi sebuah pulau.

Jika ada keperluan pada masa depan bagi menggunakan rizab negara bagi krisis sedemikian dan ancaman luar, Presiden Tharman berkata kita akan menimbangkannya dengan teliti.

Singapura kata Presiden Tharman perlu mengimbangi antara memenuhi keperluan segera dan melindungi rizab negara supaya setiap generasi sekarang dan pada masa depan, menikmati manfaatnya.

Presiden Tharman mengatakan Singapura harus mencari cara maju ke hadapan, di tengah-tengah ketegangan sejagat.

Ini termasuk perang Ukraine dan ketegangan antara China dengan Amerika Syarikat.

Juga untuk meneruskan kepentingan jangka panjang negara, Presiden Tharman berkata Singapura harus berpegang erat kepada prinsip-prinsip daripada memilih pihak tertentu.

Sebagai Presiden, Encik Tharman berikrar untuk memainkan peranan untuk memaparkan nilai-nilai dan pandangan Singapura dan meningkatkan kedudukan kita di kalangan masyarakat antarabangsa.

Presiden Tharman juga berkata beliau akan berusaha untuk mendalami kerjasama sedia ada dan membina kerjasama baru.

Dengan menjadi suara yang bernas dan mencari huraian untuk manfaat bersama, kita tambah Presiden Tharman akan kekal sebagai rakan yang bermanfaat.
Sumber : CNA/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita