Tharman Shanmugaratnam akan lawat AS, Switzerland bagi mesyuarat isu air sejagat
(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam akan melakukan lawatan ke Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland untuk menghadiri mesyuarat dari 5 hingga 10 Februari.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Sabtu (4 Feb) menyatakan, Encik Tharman akan mengunjungi New York, Washington DC dan Geneva bagi menghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut selaku Pengerusi Bersama Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air.
Beliau akan diiringi oleh para pegawai dari PMO dan Lembaga Perbekalan Awam (PUB).
Di New York, Encik Tharman akan berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pendekatan kolektif bagi menangani krisis air sejagat yang semakin meruncing dan kaitannya dengan perubahan iklim serta jaminan bekalan makanan dan kesihatan.
Di Washington DC pula, Encik Tharman akan mengadakan pertemuan dengan para pegawai kanan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Di Geneva, Encik Tharman akan menyertai dan menyampaikan ucapan di Rundingan Meja Bundar mengenai Pembiayaan Air yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Beliau juga akan bertemu para pemimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.