Tharman rasmi lancar kempen untuk jadi 'Presiden era baharu' SG
"Saya ikut bertanding kerana saya benar-benar rasa ada keperluan untuk mengubah budaya, beberapa norma sosial dan cara kita bekerja antara satu sama lain di Singapura supaya kita terus menyerlah di mata dunia," kata Encik Tharman dalam satu sidang media di York Hotel.
Pelancaran rasmi itu dijalankan lebih sebulan selepas Encik Tharman pertama kali mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.
Pada 8 Jun lalu, beliau memaklumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang keinginannya untuk menjadi seorang calon.
Encik Tharman bagaimanapun perlu meninggalkan politik dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk itu.
Ditemani isterinya, Cik Jane Yumiko Ittogi pada Rabu (26 Jul), Encik Tharman menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi Singapura pada peringkat nasional dan global.
Encik Tharman turut menekankan cabaran sebenar negara adalah tidak menjadi sebuah masyarakat yang berpecah belah.
"Sekiranya saya cukup beruntung dan dilantik sebagai Presiden, saya berikrar untuk membawa pengalaman dan keupayaan saya sepenuhnya di lapangan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, untuk berkhidmat sebagai Presiden anda bagi era baharu yang lebih mencabar ini."
Encik Tharman menambah, 22 tahun dalam politik telah memberinya pengalaman cukup luas untuk menyatukan rakyat - satu peranan penting bagi seorang presiden.
"Apabila kita bercakap tentang sosok yang menyatukan rakyat, saya bukan sekadar cakap retorik atau mengatakannya sebagai satu aspirasi, tetapi saya katakan ini dengan rekod yang saya pegang," ujarnya.
"Ini termasuk menunjukkan saya menghormati pandangan yang berbeza-beza, seperti kecenderungan politik berlainan dan terus-menerus mencari jalan tengah."
Encik Tharman juga berkata beliau mahu memenuhi kewajipan lain seorang presiden, seperti menjaga rizab negara, sambil menukil pengalamannya dalam pemerintah dan politik sepanjang lebih dua dekad.
Namun lebih penting lagi adalah, tambah Encik Tharman, beliau mahu memperkenalkan "orientasi lebih asas" berkaitan integriti dan pemikiran yang tidak mudah terpengaruh - antara ciri-ciri yang orang ramai tahu ada pada dirinya.
Walaupun tidak lagi dalam Kabinet, Encik Tharman berkata beliau akan tetap menjadi orang yang sama.
"Saya tidak perlu mengubah pendirian saya ibarat kameleon atau bangkarung yang bertukar-tukar warna. Saya orang yang sama, dengan integriti yang sama, masih berpendirian tegas, dan semua itu kekal penting bagi seorang Presiden," tegas beliau.

Peraturan pilihan raya memerlukan setiap kertas pencalonan calon ditandatangani seorang pencadang, penyokong dan sekurang-kurangnya empat lagi pengundi berdaftar.
Pencadang Encik Tharman adalah mantan Anggota Parlimen Dilantik Thomas Chua, iaitu presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Suku Kaum Cina Singapura dan presiden kehormat Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura.
Penyokong Encik Tharman pula adalah Encik Mohammad Alami Musa, duta Singapura ke Algeria dan ketua kajian dalam hubungan silang agama di Universiti Teknologi Nanyang. Encik Alami juga merupakan mantan presiden MUIS yang berkhidmat dari 2002 hingga 2021.
Lapan orang yang bersetuju dengan pencalonan merangkumi seorang usahawan, penerbit filem dan anggota masyarakat awam seperti berikut:
-
Encik Hassan Ahmad, Penasihat Khas, Humanity Matters, dan Bekas Ketua Eksekutif Mercy Relief
-
Encik Ho Kwon Ping, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Banyan Tree Group, Pengerusi Pengasas Lembaga Pemegang Amanah, Universiti Pengurusan Singapura, dan Mantan Pengerusi Singapore Summit
-
Cik Kamsinah Sadar, Pengurus Besar, Tasek Jurong, dan Mantan Pengarah Eksekutif, Pertapis
-
Encik Kim Whye Kee, pembuat seramik; Pengasas Qi Pottery; Pengasas bersama Beacon of Life dan Beacon of Life Academy, dan seorang bekas banduan
-
Cik Mary Liew, Presiden NTUC dan Setiausaha Agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Maritim Singapura
-
Encik Lim Siong Guan, Pengerusi Pengasas Kehormat (Singapura) dan mantan ketua Perkhidmatan Awam Singapura
-
Encik Royston Tan, pengarah dan pengarah kreatif filem, Perbarisan Hari Kebangsaan 2023
-
Profesor Veera Sekaran, profesor di NUS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.