Tharman miliki kelebihan menyatukan rakyat SG : Alami Musa

Gambar: Leonard Leong/TODAY
Tiga nilai insani itu, menurut mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mohammad Alami Musa, tersemat dalam sanubari Encik Tharman Shanmugaratnam.
Nilai-nilai tersebut membuatkan beliau terdorong dan tidak berfikir panjang untuk menyokong hasrat Encik Tharman bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.
"Dalam masyarakat Melayu, Encik Tharman telah mengunjungi institusi-institusi kami dan saya mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat Melayu bahawa beliau bukan sahaja disenangi tapi disayangi rakyat. Encik Tharman juga peka budaya. Beliau hormat dan tahu budaya orang lain. Bila mengunjungi institusi kami, Encik Tharman sangat berminat untuk belajar tentang budaya masyarakat kami," kata Encik Alami Musa yang juga merupakan Duta Besar ke Algeria.
"Apa yang saya lihat dan maklum balas yang telah saya terima rakyat mesra dan senang dengan beliau kerana jawatan Presiden itu, peranan utamanya untuk menyatukan rakyat dan ini penting oleh kerana tahun-tahun mendatang kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran jadi kesatuan rakyat itu penting," kongsi Encik Alami kepada BERITA Mediacorp.
Beliau juga mendapati Encik Tharman mempunyai kelebihan dari segi caranya menambat hati masyarakat.
"Anda ingat apabila beliau dalam satu majlis di Geylang Serai, beliau nyanyikan lagu 'Getaran Jiwa' dan bukan ramai orang Melayu boleh nyanyikan lagu itu. Ia menunjukkan keakraban beliau dengan budaya orang lain dan rasa cintanya terhadap orang lain," kata Encik Alami.
KENAL SECARA PERIBADI, ENCIK THARMAN BERMINAT KENALI BUDAYA LAIN
Di luar pertemuan mereka dalam ruang profesional, beliau juga berpeluang untuk berbincang secara peribadi dengan Encik Tharman.
"Paling terbaru adalah dua bulan lalu. Kami berbual tentang isu identiti, budaya, agama dan saya dapati Encik Tharman mempamerkan kebebasan dari segi pemikiran. Saya melihatnya sebagai seorang pemimpin pemikiran," kongsi Encik Alami yang juga menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengajian Hubungan Silang Agama, Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.
Selaku penyokong Encik Tharman bagi Pilihan Raya Presiden, Encik Alami perlu menandatangani borang pencalonan Encik Tharman.
Syarat-syarat pilihan raya memerlukan borang pencalonan calon ditandatangani oleh seorang pencadang, penyokong dan sekurang-kurangnya empat pengundi berdaftar.
'SALING MENGHORMATI' - TEMA KEMPEN ENCIK THARMAN
Salah seorang pengundi yang menyetujui pencalonan Encik Tharman ialah Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad.
"Sekitaran yang kita berada sekarang di merata dunia termasuk Singapura di mana hormat sesama insan ada kekurangannya. Di sinilah kami rasa perlu seseorang individu atau personaliti yang teguh, kuat dan ada pengaruh yang dapat membawa rakyat dan untuk mewakili rakyat di peringkat dunia," kongsi beliau kepada BERITA Mediacorp.
Malah cogan kata 'Saling Menghormati' itu dipilih Encik Tharman sebagai tema teras kempennya.
Beliau juga berharap dapat menyantuni sikap hormat antara satu sama lain
"Kita perlu perdalam budaya hormat bagi semua lebih-lebih lagi bagi mereka yang memerlukan dan juga kerencaman budaya, agama dan tradisi kita. Saya percaya, dengan lebih banyak rasa hormat bagi budaya lain menerusi penglibatan dalam budaya satu sama lain, kita boleh perkukuh budaya berbilang budaya Singapura," jelas Encik Tharman.
"Ini tentang budaya tapi saya juga akan tekankan betapa pentingnya untuk hormat mereka yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan kerana orang tahu bila mereka dihormati dan bila tidak," tambah beliau.
PRIHATIN TENTANG KEBAJIKAN GOLONGAN MEMERLUKAN
Kecenderungan Encik Tharman perihal kebajikan rakyat dan golongan yang memerlukan turut diakui Encik Hassan.
Sebelum terlibat dengan badan kebajikan silang agama, Humanity Matters, Encik Hassan pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Mercy Relief.
"Saya kenal beliau sewaktu beliau menjadi Menteri Pendidikan. Waktu itu beliau melancarkan pameran tentang tsunami. Sejak itu, bila ada acara bagi tujuan kemanusiaan, kerja kemasyarakatan dan kerja amal, beliau tidak akan tolak. Sekiranya beliau benar-benar tidak dapat hadir, beliau akan dapatkan pemegang jawatan politik kanan untuk hadir bagi tingkatkan kesedaran mengenai tujuan amal dan kemanusiaan," kata Encik Hassan.
Seorang lagi pengundi Melayu yang menyokong pencalonan Encik Tharman ialah Cik Kamsinah Sadar.
Pengurus Besar Tasek Jurong Limited (TJL) itu pernah bekerja rapat dengan Encik Tharman sewaktu beliau menjadi anggota parliman GRC Jurong.
TJL merupakan badan bukan raih keuntungan bagi menyokong para penerima bantuan termasuk bekas banduan, golongan memerlukan dan kurang upaya.
Tarikh pilihan raya belum lagi diumumkan dan penggal Presiden Halimah Yacob akan berakhir pada 13 September ini.
Di sidang media siang tadi, Encik Tharman berkata beliau belum lagi mengambil borang.
Para calon Pilihan Raya Presiden perlu membuat permohonan bagi Sijil Kelayakan (CoE).
Permohonannya akan ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.