Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tharman, AP PAP cabar pandangan Jamus Lim berhubung gaji minimum

Perbahasan mengenai gaji minimum dan penggubalan dasar berlangsung di Parlimen pada Khamis (3 Sep), dengan ucapan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Jamus Lim dicabar oleh enam anggota Parlimen dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), termasuk Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Anggaran Waktu Membaca:
Tharman, AP PAP cabar pandangan Jamus Lim berhubung gaji minimum

AP Parti Pekerja Dr Jamus Lim berucap di Parlimen pada 3 Sep 2020 (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Sep 2020 12:07AM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 12:13AM

SINGAPURA: Perbahasan mengenai gaji minimum dan penggubalan dasar berlangsung di Parlimen pada Khamis (3 Sep), dengan ucapan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Jamus Lim dicabar oleh enam anggota Parlimen dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), termasuk Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Dalam respons beliau kepada Ucapan Presiden, Dr Lim menumpukan perhatian kepada perlunya penggubalan dasar yang lebih mempunyai kesan belas ihsan. Beliau juga menyarankan gaji minimum yang "mudah dan seragam" sebagai satu dasar ke arah tersebut. Dasar gaji minimum juga merupakan salah satu saranan yang dibuat parti pembangkang itu dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Umum baru-baru ini.

Ucapannya itu disusuli dengan satu perbahasan panjang lebar antara Dr Lim dan para AP PAP, yang mencabar beliau mengenai keberkesanan dasar itu untuk mencapai matlamatnya, patutkah ia dikemukakan sekarang dan jumlah yang sesuai.

Dalam jawapannya, Dr Lim akur bahawa melaksanakan gaji minimum ketika berlaku krisis ekonomi "mungkin tidak ideal". Beliau juga tidak tahu berapa gaji minimum yang sesuai dan mengusulkan agar sebuah panel bebas mengkaji isu ini.

LEBIH BERSIFAT IHSAN DALAM PENGGUBALAN DASAR: JAMUS LIM

Dalam ucapannya, Dr Lim, seorang profesor ekonomi, berkata pendekatan sedia ada dalam penggubalan dasar, lebih cenderung ke arah kecekapan dan bukannya kesaksamaan, dan ini "boleh diperbaiki dengan suntikan keihsanan dan sifat prihatin yang lebih besar".

AP pembangkang itu berhujah bahawa penggubalan dasar yang penuh ihsan mengambil kira kesan dasar itu "bukan hanya secara keseluruhan, tetapi juga bagaimana ia menjejas kumpulan yang berbeza-beza, terutama mereka yang berada di pinggiran masyarakat".

Perubahan kecil yang dibuat agar tidak menjejas sistem yang berjalan dengan baik setakat ini, tidak banyak "memperbetulkan keadaan", tambahnya.

Beliau berhujah bahawa "banyak lagi" boleh dilakukan termasuk melaksanakan gaji minimum yang “mudah dan seragam” dan garis kemiskinan rasmi yang berkait rapat dengan ComCare.

Dalam ucapannya, Dr Lim akur bahawa Singapura mempunyai versi gaji minimum sendiri - yakni model gaji progresif, yang merujuk kepada "tangga gaji" yang pertama kali dilancarkan pada 2015 untuk membantu menaikkan gaji pekerja bergaji rendah melalui peningkatan kemahiran dan daya penghasilan.

"Namun hingga baru-baru ini, kita masih menganggapnya tidak wajar untuk memperluaskannya untuk semua dan meletakkan pelbagai syarat tambahan yang digunakan majikan untuk mengekalkan pekerja di tangga gaji paling rendah," kata beliau.

Walaupun Pemerintah memberi amaran bahawa gaji minimum nasional boleh membawa kepada kos lebih tinggi dan kehilangan pekerjaan, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kebanyakan warga Singapura bersedia membuat bayaran lebih tinggi untuk perkhidmatan penting dan "kesan gaji minimum terhadap pekerjaan mungkin terhad”, tambahnya.

Dr Lim akur bahawa ada yang berpendapat bahawa sekarang ini bukan masa yang tepat untuk melaksanakan dasar sedemikian di tengah-tengah krisis akibat pandemik, namun beliau berpendapat sebaliknya.

"Ayuh kita komited kepada prinsip-prinsip penggubalan dasar yang penuh ihsan sekarang dan merangka rancangan pada masa ini. Apabila krisis reda, kita akan bersedia untuk melaksanakan dasar yang kita komited hari ini. "

NAIKKAN TARAF HIDUP BUKAN PERKARA MUDAH: THARMAN

Perbahasan selama hampir 40 minit itu mendorong bidasan yang jarang berlaku oleh Encik Tharman.

"Tiada di antara kita yang mempunyai monopoli ke atas belas ihsan sepenuhnya dan saya mengatakan ini bukan untuk memperlekehkan sesiapa pun. Secara khusus, saya sangat menghormati maksud AP Jamus Lim dari segi intelektual, emosi dan sebagainya," kata Encik Tharman, sambil menambah bahawa ucapan para AP beberapa hari kebelakangan ini, termasuk beberapa dari partinya sendiri, membuatnya terkesan.

Encik Tharman berkata: "Ini nasihat dari saya - elak daripada kemukakan hujah yang lemah dan tidak tepat, seperti mendakwa Pemerintah hanya pentingkan kecekapan dan bukan kesaksamaan. Sejujurnya, itu tidak masuk akal."

Beliau menambah bahawa meningkatkan taraf hidup golongan miskin adalah satu "hal yang rumit", dengan salah satu cabarannya adalah bagaimana untuk mencapainya tanpa menyebabkan pekerja itu hilang keupayaannya untuk mengekalkan rasa harga diri dan memperoleh gaji sendiri.

Pemerintah melakukannya melalui banyak dasar seperti model gaji progresif, dan mengakui bahawa masih banyak yang harus dilakukan. Banyak hujah yang dibentangkan di Parlimen sejak beberapa hari lalu menekankan sentimen yang sama, tambahnya.

"Sejujurnya kita tidak banyak berbeza dari segi matlamat itu ... Ada kata sepakat.

"Itu harus menjadi objektif kita, tetapi cubalah elak daripada kemukakan hujah lemah dan berpura-pura bahawa anda seorang yang memiliki ... monopoli ihsan," kata Encik Tharman.

PEMERINTAH YAKIN KEPENTINGAN NAIKKAN GAJI PEKERJA

Mengenai model gaji progresif, Menteri Kanan itu menekankan bahawa Pemerintah yakin akan peri pentingnya menaikkan gaji pekerja yang bergaji paling rendah.

"Kami benar-benar yakin. Kami telah mencapai kemajuan yang ketara sepanjang 10 tahun lalu, dan dalam lima tahun lalu, dan kami fikir kami patut melangkah lebih jauh. "

Encik Tharman juga berkata beliau tidak akan "membesar-besarkan perbezaan" antara model gaji progresif dengan model gaji minimum, dengan menarik perhatian bahawa model gaji progresif ialah "gaji minimum ditambah" dengan pendekatan mengikut sektor.

Dr Lim menjawab: “Saya mohon maaf jika hujah saya tampak seakan saya menyindir bahawa hanya saya atau parti saya, atau mana-mana individu mempunyai monopoli belas ihsan.

“Malah, atas sebab itulah saya menukil kes-kes di mana saya merasakan bahawa dasar sedia ada menunjukkan belas ihsan. Saya malah menukil anggota lain yang bukan dari parti saya yang juga menyentuh tentang belas ihsan. "

Pun begitu, Dr Lim bertegas beliau tidak mengemukakan hujah yang lemah.

"Saya tidak menyarankan bagi setiap dasar yang ada pada masa ini hanya tertumpu kepada kecekapan. Saya tidak menyarankan bahawa setiap dasar yang saya bentangkan dalam ucapan saya dan di tempat lain, hanya ditujukan kepada kesaksamaan."

Sebaliknya, ia adalah satu urutan yang saling bersambung, tambahnya. "Dan saya berpendapat bahawa kita dapat bergerak lebih lagi ke arah kesaksamaan berbanding kecekapan, dan itulah intipati hujah saya."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan