Tharman alu-alukan persaingan dalam Pilihan Raya Presiden, ajak semua calon perlihatkan kewibawaan
Encik Tharman Shanmugaratnam bercakap kepada media pada 18 Ogos 2023 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands selepas menerima sijil kelayakan pada hari yang sama. (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)
Encik Tharman salah satu daripada tiga bakal calon yang layak bertanding dalam pilihan raya, yang dijadualkan berlangsung pada 1 September.
Selain Encik Tharman, mantan ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song dan mantan calon presiden Tan Kin Lian menerima sijil kelayakan.
"Saya berharap ia akan menjadi satu persaingan yang bermartabat dan berintegriti, seiring dengan kewibawaan jawatan itu sendiri," kata Encik Tharman pada Jumaat (18 Ogos) selepas Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengumumkan senarai individu yang layak sebagai calon.
"Saya ingin menggalak semua calon supaya memperlihatkan kewibawaan masing-masing kerana setiap seorang daripada mereka berupaya menonjolkan sesuatu yang bernilai buat singapura dan saya amat mengalu-alukannya."
Encik Tharman, 66 tahun, bercakap kepada media sebelum jamuan makan malam Cerebral Palsy Alliance Singapore di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, di mana beliau dijadualkan berucap sebagai tetamu terhormat.
Mantan Menteri Kanan itu juga berkata bahawa beliau "sangat sedih" usahawan George Goh tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.
Encik Goh, pengasas Harvey Norman Ossia, memberitahu para wartawan pada Jumaat (18 Ogos) bahawa pentafsiran Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden terhadap syarat-syarat kelayakan "sangat sempit". Beliau juga mendakwa jawatankuasa itu tidak menjelaskan sebab di sebalik keputusan tersebut.
Dalam kenyataannya mengulas tentang kelayakan Encik Tharman, Jabatan Pilihan Raya menyatakan bahawa Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden yakin beliau "seseorang yang mempunyai integriti, keperibadian dan reputasi yang baik" berdasarkan maklumat yang tersedia ada.
Encik Tharman juga, menurut jawatankuasa itu lagi, memenuhi syarat-syarat perkhidmatan awam, iaitu dengan menyandang jawatan sebagai menteri selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Semasa ditanya bagaimana keputusan yang menetapkan Encik Goh tidak layak bertanding, akan menjejas peluangnya menjadi Presiden Singapura, Encik Tharman berkata: "Saya tidak mahu membuat pengiraan berdasarkan siapa yang akan bertanding dan sebagainya.
"Saya hanya ingin meneruskan rekod pencapaian saya dan tujuan dalam hidup saya, serta melakukan apa yang saya rasa boleh, untuk menyumbang kepada fasa pembangunan Singapura seterusnya. Saya bertanding kerana saya tahu banyak perkara sedang berubah. Dan fasa pembangunan Singapura seterusnya akan memerlukan ketua negara dengan nilai-nilai yang berbeza.
"Dan itulah sebabnya saya bertanding. Ia bukan untuk diri saya sendiri."
Encik Tharman menambah bahawa beliau sangat menghormati Encik Goh dan berharap usahawan itu akan terus berbakti kepada negara.
"Beliau berusaha keras dalam usahanya yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu. Saya sedih beliau tidak dalam senarai calon," kata Encik Tharman.
"Saya sangat menghormati dirinya mahupun kisah hidupya. Namun saya berharap beliau akan terus kekal dalam kehidupan rakyat dengan caranya tersendiri dan terus menyumbang kepada Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.