Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Thank You, Bhaiya!" jamu 1,000 pekerja hijrahan juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 1,000 pek juadah berbuka puasa, serta baju Melayu diagihkan kepada pekerja hijrahan menjelang waktu berbuka tadi (3 April), sebagai tanda penghargaan buat para pekerja hijrahan atas sumbangan mereka.

Selain berjauhan daripada keluarga tersayang demi mencari rezeki, para pekerja hijrahan juga kadangkala terpaksa mengorbankan waktu berbuka puasa kerana komitmen kerja mereka.

Lantaran itu, inisiatif yang dipanggil "Thank You, Bhaiya" oleh Forum Belia Muslim (MYF) diharap dapat membawa sedikit keceriaan buat para pekerja hijrahan dari beberapa dormitori di kawasan Kaki Bukit.

Meskipun pernah menganjurkan acara serupa dua tahun lalu, ini sebenarnya merupakan kali pertama inisiatif MYF itu diadakan dalam bulan Ramadan.

LEBIH RAMAI IKUT SERTA INISIATIF KALI INI

Mereka turut disokong beberapa badan korporat dan sumbangan derma orang ramai.

"Perbezaan tahun ini bagi pengagihannya, kami mempunyai lebih ramai rakan korporat yang ikut serta. Kami juga bekerjasama dengan MOM tahun ini untuk melakukan pengagihan di kawasan Kaki Bukit ini," kongsi Pengasas Bersama MYF, Shah Reza.

"Jumlah yang dikumpul pada tahun ini sekitar S$10,000, tidak termasuk barangan terpakai yang dikumpulkan oleh rakan-rakan korporat kami. Namun, bukan jumlah semata-mata yang ingin kami capai, tetapi semangat kemasyarakatan dari pelbagai pihak yang ingin kami capai tahun ini," tambah beliau lagi.

Tahun ini, seramai 30 sukarelawan menyingsing lengan dari jam 5.00 petang lagi untuk mengagihkan bungkusan nasi briyani itu kepada kira-kira 1,000 orang pekerja hijrahan.

BAJU RAYA MERIAHKAN LAGI SAMBUTAN LEBARAN PEKERJA HIJRAHAN
 

Selain itu, baju-baju raya yang disumbangkan turut diharap dapat memeriahkan lagi sambutan Lebaran mereka ini yang jauh di rantauan.

Antara pekerja hijrahan yang dapat menikmati juadah tersebut termasuk Alam Mohammad Faridul, 30 tahun.

"Saya sebenarnya suka makan Nasi Briyani, jadi bila dapat Nasi Briyani hari ini, saya sangat gembira," kongsi Encik Alam.

Beliau yang sudah empat tahun bekerja di Singapura menambah bahawa ini merupakan satu peluang yang baik untuk bertemu rakan-rakan dan menyambut hari pertama Ramadan bersama.

"Buat masa yang agak lama, kami tidak boleh keluar jadi ini merupakan satu peluang yang baik untuk kita dan saya berasa amat seronok menyambut hari pertama Ramadan ini bersama," ujar Encik Alam.

Ini juga sedikit sebanyak dapat mengubat rindunya kepada keluarga tersayang, yang sudah empat tahun beliau tidak ketemu.

Turut hadir untuk membantu dalam acara pengagihan ini ialah Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad serta Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Nadia Samdin dan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, dan Zhulkarnain Abdul Rahim.

Melihat usaha seluruh masyarakat ini bagi menghargai para pekerja hijrahan, Encik Zaqy berbesar hati dan memuji semangat mereka.

"Pengagihan ini saya rasa amat diperlukan oleh kerana ia boleh menjadi perangsang semangat bagi pekerja-pekerja hijrahan kita," ujar Encik Zaqy.

"Ini juga merupakan sumbangan daripada belia-belia kita dan juga anggota masyarakat," tambah beliau.

Pada masa yang sama, Encik Zaqy amat berterima kasih kepada para pekerja hijrahan yang sama-sama membantu dalam usaha memerangi COVID-19.

Istimewanya kali ini, sebuah lagu turut diterbitkan sebagai penghargaan buat pekerja hijrahan.

Lagu berjudul "Thank You, Bhaiya" itu mengisahkan tentang pengorbanan pekerja hijrahan dalam sama-sama membangunkan Singapura. Ia hasil gubahan artis tempatan Rauzan Rahman.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan