Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tetamu tidak diundang: Keluarga lima beranak 'dikunjungi' COVID-19 pada 1 Syawal

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penantian selama empat tahun untuk beraya dengan keluarga besar pada 1 Syawal di sini terpaksa dikuburkan Encik Taufik Wahib setelah beliau sekeluarga diuji positif COVID-19 pada pagi Aidilfitri semalam (3 Mei).  

Itulah nasib yang menimpa keluarga Encik Taufik yang mengambil langkah proaktif untuk membuat ujian ART sebelum keluar beraya. 

"Setelah saya pulang dari solat Aidilfitri, setelah seluruh keluarga sudah bersiap sedia untuk keluar, saya syorkan untuk keluarga saya lakukan satu lagi ujian. Tiba-tiba tanpa disangka, keputusan ujian positif. Mula-mula saya, kemudian anak perempuan saya, anak lelaki saya yang kecil, dan diikuti pula dengan isteri saya positif.

(Gambar: Taufik Wahib)

Hari Raya tahun ini juga sebenarnya lebih bermakna buat Encik Taufik sekeluarga kerana inilah pertama kali beliau dapat bersua muka dengan sanak saudara di Singapura sejak 2019, selepas 12 tahun bermastautin di Brunei atas keperluan tugas. 

"Kami agak terkilan sebab kami sudah melakukan persediaan mental untuk bersama-sama keluarga setelah empat tahun kita tak bersama sebab saya bertugas di luar negeri. Jadi rasa terkilan tapi kita akur, kita redha dan inilah satu hikmah dan kita terima dengan cara terbuka," kata Encik Taufik, yang bertugas sebagai seorang pendidik di sebuah sekolah antarabangsa.

Encik Taufik memberitahu BERITAmediacorp beliau sekeluarga mula mengalami gejala-gejala seperti selesema, sakit tekak dan batuk sejak Sabtu (30 Apr) lalu. 

Bagi mendapatkan kepastian, beliau sekeluarga melakukan ujian ART ketika itu dan hasilnya adalah negatif. 

"Hari terakhir saya bekerja adalah pada hari Jumaat dan saya pulang selepas itu tidak rasa apa-apa pun cuma pada hari Sabtu yang saya rasa serak-serak, rasa batuk, selesema tapi setelah menjalankan ujian ART, negatif. Itulah saya tidak dapat pasti dari mana saya mendapat jangkitan ini," kata Encik Taufik, 55 tahun.

Setelah kembali dari Brunei, mereka tidak dapat beraya beramai-ramai dua tahun lalu disebabkan langkah-langkah pengurusan selamat yang lebih ketat.

"Pada permulaannya, saya dan isteri merancang untuk mengunjungi ibu mertua saya, ibu bapa saya dan pakcik saya di Tampines. Selepas itu kami akan bercadang untuk ke rumah sepupu saya, bapa saudara saya yang lain. 

"Tapi itulah kita yang rancang tapi Tuhan yang menentukan," kata Encik Taufik dengan penuh kepasrahan.

ANAK BONGSU KECEWA TIDAK DAPAT BERAYA

Yang paling terkesan dalam keluarga Encik Taufik adalah anak bongsunya yang berusia 12 tahun. 

"Dia pun agak kecewa semalam. Saya terpaksa memujuknya sebab dia pun harap dapat berjumpa dengan sepupu-sepupunya yang lain sebaya dengannya tapi saya cuba memberikan nasihat insya-Allah kita akan berjumpa lagi di lain kesempatan," kata Encik Taufik.

(Gambar: Taufik Wahib)

Selain beria-ia untuk bertemu ahli keluarga, anaknya itu juga sepatutnya menduduki peperiksaan pertengahan tahunnya hari ini (4 Mei).

Namun, Encik Taufik berkata pihak sekolah amat bersimpati dengan situasi anaknya itu dan membolehkan dia menduduki peperiksaan pada lain masa bersama para pelajar lain yang terjejas. 

RAYA TETAP RAYA, KESELAMATAN MASIH DIUTAMAKAN

Meski semangat raya mereka terjejas akibat jangkitan virus, keluarga itu masih lagi cuba membangkitkan 'mood' Hari Raya mereka.

Menurut Encik Taufik: "Kita cuba untuk menceriakan keadaan walaupun keadaan agak suram dengan keadaan COVID-19 dan situasi di rumah tapi tidak sama kalau kita dalam kesihatan yang penuh tapi walau bagaimanapun kita cuba dengan cara berbicara, berbual-bual dengan menghidupkan suasana Hari Raya di rumah saya."

(Gambar: Taufik Wahib)

"Saya sempat menghubungi ibu mertua saya, ibu saya dan mengucapkan Selamat Hari Raya dan pohon ampun maaf secara online. Itulah yang mampu kita buat supaya kita tidak menghampakan, tidak mencacatkan atau mengurangkan lagi suasana Hari Raya."

Selepas diuji negatif nanti, Encik Taufik berniat untuk menziarahi saudara maranya. 

Beliau juga akan pastikan amalan itu dilakukan dengan penuh bertanggungjawab demi menjaga keselamatan semua.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan