Skip to main content

Singapura

Tetamu tidak dibenarkan di BMTC SAF di Pulau Tekong semasa hari pendaftaran

Tetamu tidak akan dibenarkan ke Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pulau Tekong pada hari pendaftaran sebagai sebahagian daripada langkah untuk mencegah penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Tetamu tidak dibenarkan di BMTC SAF di Pulau Tekong semasa hari pendaftaran

(Gambar: SAF/BMTC)

Diterbitkan : 30 Mar 2020 09:48PM Dikemas Kini : 30 Mar 2020 09:55PM

SINGAPURA: Tetamu tidak akan dibenarkan ke Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pulau Tekong pada hari pendaftaran sebagai sebahagian daripada langkah untuk mencegah penularan virus korona COVID-19.

"Sudah menjadi amalan kami untuk menjemput anggota keluarga ke BMTC pada hari pendaftaran anggota NS baru untuk berkongsi peristiwa penting itu. Namun, disebabkan keadaan COVID-19, kami harus menyesuaikan proses hari pendaftaran," jelas Komander BMTC Kolonel (COL) Pang Lead Shuan melalui video yang dimuat naik ke Facebook SAF pada Isnin (30 Mac).

"Penyesuaian ini bukan sesuatu yang mudah namun perlu dilakukan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteran semua orang."

Sudah menjadi tradisi bagi ibu bapa anggota dibawa melihat sekitar pulau itu, termasuk melawat tempat tidur anak mereka di BMTC sebelum makan tengah hari bersama di kantin.

Menurut video itu juga, tiada perubahan pada tarikh dan masa melaporkan diri bagi mereka yang harus melaporkan diri di Kem Selarang sebelum menuju ke BMTC di Pulau Tekong.

Ibu bapa tidak akan dibenarkan untuk menemankan anak-anak mereka atau melepasi tempat turun kereta yang ditetapkan.

Langkah-langkah baru itu diambil selepas BMTC pada Februari menyatakan bahawa ia sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah tetamu ke pulau itu semasa pendaftaran dilakukan pada April.

"Bagi mengurangkan lagi risiko penularan virus, anggota baru yang berdaftar perlu mengamalkan jarak selamat semasa proses itu dari mula ke akhir. Mereka perlu mengamalkan jarak selamat antara satu sama lain di dalam feri, dan di dalam auditorium, semasa waktu makan di kantin dan semasa mereka beratur untuk mengambil peralatan mereka."

BMTC juga "meningkatkan kebersihan" di semua sekolahnya.

"Komander-komander kami akan memastikan kebajikan askar mereka terjaga," tambah Kolonel Pang.

"Latihan Asas Tentera akan dijalankan dengan pertimbangan yang sama. Memandangkan keadaan yang berubah-ubah-kami juga akan menyemak kembali langkah-langkah dan membuat peningkatan yang diperlukan selaras dengan garis panduan Kementerian kesihatan (MOH)."

Kolonel Pang akur bahawa penyesuaian itu mungkin akan mengakibatkan kesulitan "dan mungkin mengurangkan pengalaman NS. Namun, ia genting dalam usaha kita membendung penularan COVID-19," kata beliau.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita