Skip to main content

Singapura

Teruskan usaha baik Almarhum Syed Isa Semait bangunkan syiar Islam di SG: Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Teruskan usaha baik Almarhum Syed Isa Semait bangunkan syiar Islam di SG: Faishal

Dr Faishal berharap pemergian Almarhum Syed Isa Semait dapat menjadi perangsang untuk masyarakat meneruskan usaha baiknya. (Gambar: Izwan Ohtman)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 07 Jul 2025 11:59PM Dikemas Kini : 08 Jul 2025 12:06AM
SINGAPURA: Sumbangan Almarhum Syed Isa Semait merentasi pelbagai lapisan masyarakat, bukan sahaja untuk agama tapi juga di peringkat negara.

Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata Almarhum bukan sahaja melihat dari kepentingan masyarakat Islam bahkan seluruh Singapura.

"Allahyarham telah menyumbang bukan sahaja kepada masyarakat Islam tapi kepada negara kita. Bagaimana kita membangun sebagai sebuah negara dan sama sekali beliau bukan sahaja melihat dari kaca mata masyarakat kita tetapi bagaimana dalam konteks Singapura ini, memberikan ruang pembangunan kepada ahli masyarakat kita, aspek-aspek keagamaan dan juga bagaimana ia boleh membangun dengan negara kita bersama," kata Dr Faishal.
 
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong turut hadir di Masjid Sultan untuk memberikan penghormatan terakhirnya buat Almarhum Syed Isa Semait. (Gambar: Izwan Ohtman)
Beliau juga berharap masyarakat dapat mewarisi nilai-nilai dan contoh teladan Almarhum sepanjang hampir empat dekad berbakti sebagai Mufti Negara.

"Walaupun kita kehilangan Allahyarham tapi prinsip kehidupan, nilai-nilai yang diterapkan dia dalam kehidupannya dan kita mempelajarinya dan dapat merasakannya ini kekal sehingga ke hari ini," ujar Dr Faishal.

"Kita harap dengan pemergian Allahyarham, kita bukan sahaja berasa dukacita tapi ia memberikan kita perangsang untuk meneruskan usaha ini, meneruskan usaha membangunkan syiar Islam di negara Singapura dan juga bagaimana kita boleh hidup dalam konteks berbilang bangsa, agama dan meningkatkan lagi pembangunan negara kita," tambahnya.

"WALAUPUN ILMUNYA SANGAT LUAS, DIA TETAP RENDAH DIRI"

Dr Faishal juga sudah mengenali Almarhum Syed Isa Semait sebelum beliau menyertai dunia politik lagi.

Antara perkara terdahulu yang beliau pelajari daripada Almarhum ialah peranan masjid dalam pembangunan negara.
 
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong turut hadir di Masjid Sultan untuk memberikan penghormatan terakhirnya buat Almarhum Syed Isa Semait. (Gambar: Izwan Ohtman)
"Saya masih teringat apabila ada pembukaan masjid dan saya dapat bertemu dengan beliau, berbual dengan beliau dan beliau memberitahu saya bahawa ini adalah satu wadah yang bukan sahaja penting dari segi agama tetapi dari segi masyarakat kita. Bagaimana institusi masjid ini telah membangunkan masyarakat kita di Singapura," jelas Dr Faishal.

"Masa itu, saya sedang menyumbang kepada Masjid Darussalam dan ini adalah satu aspek yang saya mempelajari daripada beliau dan dapat menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anggota Lembaga Pengurusan Masjid Darussalam," tambahnya.
 
Related article image
Dr Faishal menyifatkan Almarhum Syed Isa Semait sebagai insan yang mempunyai ilmu yang luas tapi rendah diri. (Gambar: Izwan Ohtman)
Setelah itu, Dr Faishal berkesempatan untuk berinteraksi dengan Almarhum dengan lebih mendalam lagi setelah menyertai Majlis Tertinggi MUIS dan kemudian selaku Pengerusi Jawatankuasa Wakaf.

"Apabila saya berkecimpung dalam arena masjid dan juga di Majlis Tertinggi MUIS di mana dengan adanya Allahyarham, beliau memberikan kita dorongan dan juga nasihat yang bukan sahaja bernas tetapi mendalam dan datang daripada hatinya di mana dengan rasa keihsanannya dan juga bagaimana dia merendahkan dirinya," kata Dr Faishal

"Walaupun kita tidak mempunyai ilmu yang sedalam dia tetapi dia memberikan ruang bagi kita untuk memberi pandangan, berinteraksi dan merasakan bagaimana orang ini walaupun mempunyai ilmu yang sangat luas dan mendalam dibandingkan daripada kita semua tetapi dia rendah diri," tambahnya.

Dr Faishal menyertai barisan mantan Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam termasuk Masagos Zulkifli, Dr Yaacob Ibrahim dan Dr Ahmad Mattar untuk memberi penghormatan terakhir mereka buat tokoh agama itu di Masjid Sultan pada Isnin (7 Jul).
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita