Skip to main content

Singapura

Terus kukuhkan semangat kepedulian, kerjasama seperti dipaparkan sepanjang Ramadan: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sifat gotong-royong dan semangat ihsan yang ditonjolkan oleh masyarakat Melayu/Islam semasa bulan Ramadan ini mencerminkan nilai-nilai teguh 'Masyarakat Gemilang'.

Usaha masyarakat Melayu/Islam bergabung dengan para penduduk daripada pelbagai latar belakang untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dipuji Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dalam amanatnya yang disampaikan pada Ahad (30 Mac) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau juga menyanjung tinggi usaha dan pengorbanan masyarakat menjayakan pelbagai inisiatif lain untuk membantu mangsa-mangsa pergolakan atau bencana di luar negara.

Encik Masagos turut mendedahkan bahawa hampir S$1 juta sudah berjaya dikumpulkan menerusi kempen 'Aid for Gaza' melalui rangkaian M³ sejak ia dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Jumlah itu sudah melebihi sasaran awal kempen tersebut untuk mengumpul S$600,000.

'Aid for Gaza' akan diteruskan sehingga 6 April 2025.

Sumbangan dana itu akan disalurkan kepada kutipan derma oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF). Ini merupakan kutipan dana kali keempat oleh RLAF sejak Oktober 2023.

Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga berharap semangat kepedulian, sumbangan dan kerjasama dapat terus diperkukuhkan dalam masyarakat sempena meraikan SG60.

Berikut adalah teks penuh Amanat Hari Raya Aidilfitri Encik Masagos:

Ramadan adalah bulan yang penuh barakah, masa untuk kita bermuhasabah, beribadah dan meningkatkan amal soleh.

Di bulan suci itu juga, kita memupuk nilai kesabaran, keihsanan dan kesyukuran atas
segala nikmat yang dikurniakan.

Saya gembira melihat semangat bersatu-padu yang kukuh dalam masyarakat kita.

Kita berkumpul untuk beribadah, mempererat silaturahim dan membantu mereka yang memerlukan.

Sepanjang Ramadan, masjid-masjid kita menyambut jemaah untuk pengagihan bubur, berbuka puasa, solat tarawih, sesi ceramah dan pelbagai kegiatan lain.

Saya bangga dengan usaha masjid-masjid kita membantu golongan yang memerlukan, seperti melalui 'Our Community Pantry' atau ‘Pantri Masyarakat’ di Masjid Al-Iman ini.

Mereka bekerjasama dengan masyarakat untuk menyediakan bekalan makanan kepada keluarga yang susah tanpa mengira bangsa atau agama.

Sememangnya, sifat gotong-royong terus menjadi tunggak masyarakat kita.

Sempena kita meraikan 60 tahun kemerdekaan Singapura tahun ini, semangat kepedulian, sumbangan dan kerjasama terus diperkukuhkan dalam masyarakat.

Kita juga berganding bahu membantu mereka yang dalam kesusahan dan yang menghadapi bencana.

Sepanjang bulan Ramadan, masyarakat Melayu/Islam dan rakyat Singapura daripada
pelbagai latar belakang bersama-sama menyokong kempen mengutip dana untuk Gaza, hasil kerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin.

Alhamdulillah berkat sokongan padu anda, kempen ini berjaya mengumpulkan hampir $1 juta dolar setakat ini.

Terima kasih kepada semua atas sumbangan murni anda yang bakal menyediakan makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza demi meringankan beban mereka di sana.

Ramadan kali ini, saya amat bersyukur masyarakat Melayu/Islam kita dapat mengerjakan ibadah dalam keadaan yang tenang, aman dan selesa di masjid-masjid serta Qaryah-qaryah kita.

Pada masa yang sama, kita dapat melakukan kerja-kerja amal yang menyumbang kepada keharmonian agama dan perpaduan sosial di Singapura.

Pada dasarnya, kebaikan dan kemajuan ini dipacu keperibadian yang tinggi, kemahiran
yang tajam dan kewarganegaraan yang kukuh. Semuanya merupakan teras Masyarakat Gemilang kita.

Syawal ini, mari kita terus memupuk nilai-nilai murni yang disemai sepanjang Ramadan seperti sifat belas ihsan, prihatin dan murah hati.

Bersama-sama, kita dapat membuat perubahan positif dan meninggalkan warisan yang boleh dibanggakan generasi akan datang – mencerminkan visi "Masyarakat Gemilang, Masa Depan Cemerlang”.

Bagi pihak rakan-rakan Anggota Parlimen, saya Masagos Zulkifli mengucapkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita